Menteri arah UM siasat kenyataan pro-Zionis ahli akademik AS


Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir tegur IPT tempatan agar lebih berhati-hati pilih penceramah untuk majlis mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2024.

UNIVERSITI Malaya (UM) diarah oleh Kementerian Pengajian Tinggi menyiasat dan melaporkan kembali kenyataan pro-Zionis yang dibuat seorang ahli akademik berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) awal minggu ini.

Menteri Zambry Abdul Kadir juga menggesa institusi pengajian tinggi tempatan supaya lebih berhati-hati dalam memilih penceramah untuk majlis mereka.

Beliau juga mengarahkan universiti membatalkan semua program lain melibatkan ahli akademik itu.

“Walaupun universiti mempunyai autonomi dalam mengatur program intelektual mereka, ia tidak bermakna mereka mempunyai kebebasan mutlak. Kita mesti mempertimbangkan sensitiviti tempatan.

“Selain itu, keputusan dibuat oleh universiti mestilah selaras dengan pendirian dan dasar kerajaan.

“Saya mengarahkan UM menyiasat perkara itu dan memberikan butiran terperinci kepada kementerian,” katanya dalam satu kenyataan.

Media sosial kecoh semalam selepas profesor sains politik dari Portland State University’s, Bruce Gilley, menyiarkan sebahagian ucapannya pada acara anjuran UM di mana beliau menuduh ahli politik tempatan menyokong Holocaust kedua terhadap Yahudi.

Gilley dilaporkan membuat kenyataan itu semasa ucaptama pada syarahan bertajuk “Will Malaysia become an active middle power?” pada 23 April.

Beliau seterusnya berkata negara yang pemimpin politiknya “menyokong Holocaust kedua terhadap orang Yahudi tidak akan pernah menjadi pihak yang serius dalam urusan dunia dan pastinya tidak akan pernah menjadi rakan atau rakan kongsi AS.”

Beliau kemudiannya berkongsi petikan berkenaan dalam hantaran akaun X serta turut memetik kenyataan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Mohamad Sabu pada perhimpunan pada Oktober tahun lepas yang “Israel akan hilang tidak lama lagi” sebagai contoh kenyataan anti-Yahudi.

Bagaimanapun berikutan teguran awam, Gilley mengeluarkan hantarannya itu daripada X.

“Saya sudah keluarkan hantaran di bawah untuk keselamatan dan kesejahteraan rakan-rakan saya di UM, yang kepimpinannya bertindak balas terhadap bantahan pelajar.

“Petikan daripada ucaptama saya mencerminkan pandangan saya sahaja. Saya kesal dengan kemudaratan yang saya lakukan kepada rakan-rakan akademik saya,” katanya.

Antara yang mengkritiknya ialah Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz yang berkata kenyataan Gilley mengelirukan dan tidak boleh diterima.

“Kenyataannya secara palsu menggambarkan tujuan dan matlamat Malaysia ke arah keamanan untuk negara Palestin yang merdeka,” kata Amira di X semalam.

“Institusi akademik harus berhati-hati dalam menjemput penceramah dan pensyarah yang menyebarkan naratif pro-Zionis.

“Dari sungai hingga ke segara, Palestin pasti merdeka,” tulisnya. – 25 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen