Bantuan kemanusiaan sudah sampai kepada penerima sasaran di Gaza, kata Zambry


Menteri Luar Dr Zambry Abdul Kadir berkata penghantaran bantuan kemanusiaan menerusi Op Ihsan sebelum ini sudahpun selamat sampai kepada penerima di lokasi sasaran di Gaza .– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2023.

DUA penghantaran bantuan kemanusiaan menerusi Op Ihsan sebelum ini sudahpun selamat sampai kepada penerima di lokasi sasaran di Gaza sebagaimana yang dirancang.

Menteri Luar Dr Zambry Abdul Kadir berkata beliau sendiri mendapat laporan berhubung perkembangan penghantaran itu.

“Telah sampai dan masuk (bantuan ke Gaza) kita sudah dapat laporan, hantaran itu sampai ke sasaran ke tempatnya seperti dirancang,” katanya kepada pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini .

Terdahulu Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Zambry menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Anwar sebelum itu makan tengah hari di Medan Selera Jalan Duta yang terletak berhampiran Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sehubungan itu Zambry mengajak orang ramai agar sama-sama berdoa agar misi penghantaran barangan bantuan kemanusiaan siri ketiga kepada penduduk Palestin di Gaza pada 17 Disember depan dipermudahkan.

Katanya bantuan siri ketiga itu melibatkan penghantaran barangan seberat 60 tan, lebih banyak berbanding siri sebelumnya.

Malaysia sebelum ini membuat dua penghantaran ke Gaza dengan penghantaran pertama melibatkan 20 tan barangan keperluan perubatan, barangan bayi dan makanan

Penghantaran kedua yang membawa 16 tan barangan bantuan pula tiba di Mesir pada 11 November lepas. – Bernama, 8 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen