MENTERI Luar Korea Selatan mengadakan siri rundingan dengan rakan sejawatannya dari Malaysia dan Indonesia di San Francisco minggu ini meminta sokongan dalam bidaan negara itu untuk menjadi tuan rumah Ekspo Dunia 2030, menurut kenyataan pejabat menteri itu pada Sabtu.
Park Jin membuat permintaan itu dalam pertemuan berasingan dengan Menteri Luar Malaysia Zambry Abdul Kadir dan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi pada Selasa di luar mesyuarat peringkat menteri Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Semasa perbincangannya dengan Zambry, Park turut meminta sokongan Malaysia untuk membantu Korea Selatan meningkatkan hubungannya dengan ASEAN tahun depan kepada “perkongsian strategik yang komprehensif,” lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian luar.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi dalam rantaian bekalan dan bidang lain dengan berusaha untuk menandatangani perjanjian perdagangan bebas dua hala.
Sementara itu dalam perbincangan bersama Retno, Park meminta komitmen Jakarta untuk menyiapkan projek pembangunan bersama jet pejuang KF-21 di tengah-tengah kebimbangan mengenai pembayaran tertunggak Jakarta dalam projek itu yang kini dianggarkan sekitar 1 trilion won (AS$771.4 juta).
Indonesia bersetuju untuk menanggung kira-kira 20% daripada kos projek, sebanyak 8.1 trilion won sehingga 2026. – Bernama, 18 November, 2023.
Komen