MIPP perlu henti budaya taat kepada pemimpin Perikatan, kata Ramasamy.


Bekas pemimpin DAP P Ramasamy berkata MIPP belum membuktikan kemampuannya untuk menjadi pembela kaum India terutama yang miskin dan terpinggir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2024.

PENGARUH Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dalam Perikatan Nasional (PN) akan hanya berkesan jika parti itu mendapat sokongan masyarakat India, kata P Ramasamy.

Ramasamy yang juga presiden parti berasaskan kaum India, Urimai bagaimanapun berkata kemasukan MIPP sebagai parti komponen PN adalah peningkatan besar terhadap status kaum India sebagai ahli bersekutu sebelum ini.

“MIPP perlu berani dan jujur memperjuangkan orang India di negara ini terutama yang miskin dan terpinggir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MIPP adalah parti baharu yang ditubuhkan oleh bekas ahli MIC. Presidennya, Punithan adalah bekas ketua MIC Selangor.

Parti itu diterima secara rasmi ke dalam PN pada Isnin.

Ramasamy berkata pemimpin MIPP tidak boleh lagi mengamalkan politik mengikut kata seperti parti MIC dengan Umno.

“PAS dan Bersatu adalah parti komponen dominan dalam PN. Mereka ada kekuatan sokongan Melayu.

“MIPP masih belum diiktiraf oleh masyarakat India.

“Ia perlu teruji sama ada MIPP adalah parti berasaskan kaum India. Tanpa asas politik, parti itu dan pemimpinnya akan menjadi terlalu bergantung kepada pemimpin PN,” katanya yang juga bekas pemimpin DAP.

Katanya, masa depan MIPP akan bergantung kepada bagaimana mereka memperjuangkan nasib masyarakat India yang miskin dan terpinggir.

Beliau berkata kebergantungan yang keterlaluan kepada pemimpin PN akan memudaratkan kepentingan dan kebajikan masyarakat India.

“Pemimpin PAS dan Bersatu mungkin dominan dalam gabungan pembangkang itu, tetapi mereka perlu menghormati kaum India di negara ini.

“Kalau tidak, mereka akan hanya mengulangi kesilapan yang dilakukan Umno pada masa lalu,” katanya. – 24 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen