Parti BN mesti bantu calon kerajaan perpaduan di KKB, kata Tok Mat


Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Mohamad Hasan berkata pihaknya menghormati sistem di mana parti penyandang akan diberi keutamaan untuk bertanding.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2024.

PARTI komponen Barisan Nasional (BN) digesa membantu calon yang mewakili kerajaan perpaduan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu akan datang.

Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan yang juga lebih dikenali sebagai Tok Mat, berkata BN menghormati sistem di mana parti penyandangnya akan diberi keutamaan untuk bertanding.

“Kerusi itu milik Pakatan Harapan (PH) dan tidak ada sebab parti lain dalam kerajaan perpaduan tidak perlu membantu calon.

“Kita tidak akan mengadakan pilihan raya umum di mana kita boleh bertukar-tukar kerusi. Kerusi itu telah dikosongkan berikutan kematian penyandang daripada DAP dan parti perlu diberi pilihan untuk menamakan calon lain,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang turut dihadiri Presiden MCA Dr Wee Ka Siong di Rembau.

Mengenai keengganan MCA dan MIC untuk membantu kempen itu, Mohamad berkata mereka akan menguruskan perkara itu dan menegaskan pada PRK Pelangai sebelum ini, kerajaan perpaduan turut membantu calon BN.

MCA dan MIC sebelum ini mengumumkan tidak akan berkempen pada PRK Kuala Kubu Bharu sekiranya calon kerajaan itu bukan daripada BN.

Mohamad yang juga timbalan presiden Umno berkata, prinsip yang diamalkan sebelum ini ialah tolong menolong antara satu sama lain.

“Rakyat telah membantu kita, sekarang kita bantu, ini semua untuk memastikan urusan menghadapi PRK ini dapat diuruskan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata BN akan bermesyuarat selepas calon Kuala Kubu Bahru diumumkan dan akan mengatur strategi dan perancangan.

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil pada 11 Mei, manakala 27 April hari penamaan calon dan pengundian awal ditetapkan pada 7 Mei. – 20 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen