Pelancaran 5G berdepan kesulitan, kata laporan


Malaysia mencatatkan hampir 10.07 juta langganan perkhidmatan rangkaian 5G atau menyamai kadar penggunaan sebanyak 29.9% setakat 31 Januari tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2024.

PERJANJIAN capaian rangkaian 5G antara syarikat milik kerajaan Digital Nasional Bhd (DNB) dengan syarikat telekomunikasi swasta tempatan menghadapi kesulitan, lapor Channel News Asia (CNA).

Laporan itu menyebut wujud percanggahan pendapat yang masih berterusan mengenai syarat-syarat penting ketika ini  menghalang kemajuan, sekali gus menimbulkan keraguan yang serius terhadap pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini.

“Pegawai kerajaan dan eksekutif industri mengakui bahawa selepas lebih empat bulan kedua-dua belah pihak masih belum mencapai persetujuan mengenai syarat duluan (CP) yang mesti dipenuhi sebelum kontrak boleh berkuatkuasa,” menurut laporan itu.

CP termasuk pelantikan pengarah yang akan mewakili syarikat telekomunikasi swasta di DNB dan penyelesaian tiga audit sulit ke atas entiti milik kerajaan oleh pakar luar.

“Audit masih berjalan, tetapi tiada persetujuan mengenai komposisi lembaga pengarah. Tiada perkembangan kerana syarikat telekomunikasi mula meragui langkah ke hadapan,” kata seorang pegawai Kementerian Kewangan dipetik CNA.

Sumber lain memberitahu CNA wujud ketidakpercayaan yang mendalam antara industri dan kerajaan, terutamanya berkenaan dengan kerahsiaan berkait operasi dalaman DNB.

“Masalah antara kami dengan DNB sentiasa berkisar tentang ketelusan dan inilah masih menjadi halangan,” kata seorang ketua eksekutif sebuah agensi perunding kewangan dipetik CNA sebagai berkata.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Februari lalu berkata Malaysia mencatatkan hampir 10.07 juta langganan perkhidmatan rangkaian 5G atau menyamai kadar penggunaan sebanyak 29.9% setakat 31 Januari tahun ini. – 19 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen