Tak perlu pinda Akta Perubatan untuk iktiraf pakar, kata kumpulan


Noel Achariam

Dr Noor Hassim Ismail berkata sudah ada undang-undang dan prosedur sedia ada untuk membantu graduan program Parallel Pathway. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 April 2024.

MUNGKIN tiada keperluan untuk meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50) untuk menangani isu berkaitan program Parallel Pathway, atau program latihan pakar, kata sekumpulan profesor kesihatan dan perubatan.

Ketuanya Dr Noor Hassim Ismail berkata sudah ada undang-undang dan prosedur sedia ada untuk membantu graduan program berkenaan.

“Bagi pelatih yang masih dalam sistem pengajian, mereka boleh dipindahkan ke program universiti tempatan melalui proses yang sama juga.

“Adalah jelas dilema yang dihadapi oleh graduan laluan selari ini boleh diselesaikan tanpa perlu meminda Akta,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata selepas menjalani latihan itu, mereka akan dianugerahkan kelayakan yang didaftarkan dalam Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) dan layak untuk didaftarkan sebagai pakar dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) Majlis Perubatan Malaysia (MPM).

Parallel Pathway adalah sebahagian daripada keseluruhan program latihan pasca siswazah dan merupakan sebahagian daripada proses akhirnya menjadi sub-pakar di Malaysia.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkelfy Ahmad berkata kementerian berharap pindaan itu dilakukan menjelang persidangan kedua sesi ketiga Parlimen pada Jun ini.

Beliau berkata usaha untuk memperkukuh latihan kepakaran melalui program sarjana tempatan akan dipergiat untuk meningkatkan pembinaan kapasiti tempatan.

Hassim berkata hasrat untuk meminda Akta 50 nampaknya membenarkan semua doktor dengan program kepakaran antarabangsa di bawah Parallel Pathway untuk didaftarkan dalam Daftar Pakar Perubatan sebagai doktor pakar di Malaysia.

“Kami memahami keperluan tetapi kami harus menghargai pada masa ini, terdapat sembilan universiti tempatan yang menjalankan 106 program latihan kepakaran perubatan yang terjamin di Malaysia.

“Program latihan kepakaran perubatan tempatan ini telah melalui peningkatan berterusan dan jaminan kualiti selama lebih 40 tahun.

“Ini adalah usaha universiti tempatan kita untuk memartabatkan pendidikan perubatan kepakaran pasca siswazah di negara kita.”

Katanya, mereka prihatin dengan kesusahan pelatih dan graduan program Paralell Pathway yang dijalankan di Malaysia ini.

“Mereka adalah mangsa. Mereka telah menyertai program latihan yang menganugerahkan kelayakan yang tidak boleh didaftarkan ke dalam daftar Pakar Perubatan.

“Kini kerajaan perlu memudahkan pendaftaran mereka sebagai pakar.

“Undang-undang semasa boleh membenarkan mereka diserap ke dalam program tempatan melalui proses pemindahan kredit atau pemetaan kurikulum.” – 14 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen