Lembaga Pengampunan tak bincang isu tahanan rumah Najib, kata laporan


Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa bahagian tambahan dalam pengampunan diraja membenarkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2024.

MESYUARAT Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lalu tidak bincang sebarang rancangan untuk membenarkan Najib Razak menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah, lapor Channel News Asia (CNA).

Memetik pegawai kerajaan yang tidak dinamakan, laporan itu menyebut perkara itu tidak dibincangkan enam anggota Lembaga Pengampunan ketika membuat keputusan berkait permohonan pengampunan diraja bekas perdana menteri keenam itu.

Pegawai kerajaan bagaimanapun mengesahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang juga pengerusi Lembaga Pengampunan, telah mengeluarkan perintah tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah “sebelum baginda menamatkan pemerintahan selama lima tahun pada 30 Januari”.

Menurut CNA, Jabatan Peguam Negara membantah Najib diletakkan di bawah tahanan rumah kerana perintah tambahan tersebut tidak dikemukakan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari lalu.

Pada 2 Februari, Lembaga Pengampunan memutuskan Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, dan denda yang perlu dibayar oleh bekas ahli Parlimen Pekan itu dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

“Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib Razak akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029,” kata lembaga itu dalam satu kenyataan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat yang diadakan pada 29 Januari. 

Isnin lalu, Najib memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman titah adendum atau tambahan titah Al-Sultan Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co.

Dalam notis permohonannya, Najib memohon perintah untuk semua atau seorang responden melaksanakan titah Al-Sultan Abdullah dan dengan serta merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya.

Najib mendakwa titah tambahan itu dikeluarkan oleh Al-Sultan Abdullah pada 29 Januari.

Beliau menamakan menteri dalam negeri, komisioner jeneral penjara, peguam negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Mahkamah Tinggi menetapkan 17 April untuk mendengar permohonan Najib supaya kerajaan mendedahkan titah tambahan tersebut.

Pada 28 Julai 2020 Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.  

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau tidak mengetahui sebarang titah tambahan berhubung kebenaran kepada Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Laporan CNA menyebut, jurucakap di pejabat Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ia “tidak akan membuat sebarang kenyataan mengenai perkara ini”. – 5 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen