Polis sahkan siasat kenyataan Hadi berhubung kuasa Lembaga Pengampunan


Presiden PAS Abdul Hadi Wang dalam ceramah di Johor, dipercayai menyentuh bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan ia tidak sesuai dengan ajaran Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2023.

POLIS mengesahkan menyiasat kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dipercayai mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Beliau berkata jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

“Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh isu 3R iaitu institusi diraja, agama dan kaum demi menjaga dan mengekalkan ketenteraman awam.

“Tindakan akan diambil kepada semua pihak tanpa mengira parti jika menyentuh isu berkenaan,” kata beliau dalam satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Sementara itu, ahli Parlimen Bachok yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS Mohd Syahir Che Sulaiman dalam satu kenyataan di media sosial “X” (dulu dikenali sebagai Twitter) hari ini mengesahkan Hadi dipanggil Bukit Aman berhubung laporan polis membabitkan ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Simpang Jeram, Muar.

Dua hari lepas, Hadi dalam ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Bakri, dipercayai menyentuh bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah tidak sesuai dengan ajaran Islam. – Bernama, 28 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen