Tiada mesyuarat khas bincang pelantikan TYT baharu, kata Pejabat Premier Sarawak


Pejabat Premier Sarawak berkata pihaknya ambil  maklum mengenai laporan media yang menyatakan terdapat perbincangan mengenai pelantikan Yang Dipertua Negeri baharu dijalankan di Dewan Undangan Negeri Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2024.

PEJABAT Premier Sarawak semalam menafikan terdapat perbincangan mengenai pelantikan Yang Dipertua Negeri baharu dijalankan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Menurut kenyataan Pejabat Premier Sarawak, pihaknya ambil  maklum mengenai laporan media yang menyatakan bahawa terdapat mesyuarat khas bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Berhubung perkara tersebut, Pejabat ini ingin menjelaskan bahawa tidak ada sebarang mesyuarat untuk tujuan sedemikian,” menurut kenyataan itu.

Kelmarin, Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata pelantikan Yang Dipertua Negeri adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baru-baru ini, dilaporkan Speaker Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar melepaskan jawatannya dan sedang bersiap sedia untuk menyandang jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak bagi menggantikan Abdul Taib Mahmud.

Abdul Taib dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh pada 1 Mac 2014, bagi menggantikan Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng. – Bernama, 22 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen