Lebih 400 kes menyamar rakan di aplikasi sosial disiasat


SEBANYAK 494 kes penipuan menyamar sebagai rakan atau kenalan membabitkan kerugian RM2.5 juta dikesan polis sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya mengesan penipuan menyamar sebagai rakan atau kenalan di aplikasi media sosial seperti WhatsApp, Telegram dan Facebook.

Beliau berkata meminjam wang merupakan satu daripada modus operandi yang digunakan oleh penjenayah dalam melakukan penipuan.

“Berdasarkan siasatan, sindiket ini didapati melakukan penggodaman terhadap akaun Telegram/WhatsApp milik mangsa dan menghubungi senarai rakan mangsa yang diperoleh daripada Telegram/WhatsApp untuk meminjam wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi tempoh 1 Januari hingga semalam (20 Januari), sebanyak 50 kes dilaporkan membabitkan kerugian RM238,732.

Menurutnya, pemilik sebenar akaun hanya menyedari perkara itu apabila mereka tidak dapat mengakses atau menerima panggilan daripada kenalan mereka berkaitan kesahihan pinjaman wang yang ingin dibuat.

Ramli berkata sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya kepada mesej pinjaman wang diterima daripada kenalan terutama apabila akaun bank digunakan adalah milik individu lain.

“Apa pun alasan mereka, lakukan semakan dengan menghubungi kenalan berkenaan bagi tujuan pengesahan,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan nasihat atau maklumat lanjut dengan menghubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan pertanyaan kepada CCID Infoline melalui talian 013-2111222, katanya. – Bernama, 21 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen