Reman lelaki disyaki khianat api di rumah Ngeh disambung sehari lagi


Pada Rabu lepas, rumah Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham dipercayai dilontar dengan 'molotov cocktail' menyebabkan kebakaran yang memusnahkan sebuah kereta miliknya manakala dua kenderaan lagi mengalami kerosakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2024.

TEMPOH reman lelaki yang ditahan kerana disyaki melakukan khianat api di kediaman Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham, disambung sehari lagi hingga esok.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi berkata permohonan reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung pagi ini.

“Kita akan terus menyiasat untuk mengetahui sejauh mana penglibatan suspek dalam kes ini,” katanya.

Yusri juga berkata hasil siasatan forensik kebakaran yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga akan diambil kira dalam penyiasatan berkenaan.

Lelaki berusia 30-an yang ditahan di Shah Alam pada 12 Jan lepas, ditahan reman sehingga hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

Dalam kejadian awal pagi Rabu lepas, rumah Ngeh dipercayai dilontar dengan “molotov cocktail” menyebabkan kebakaran yang memusnahkan sebuah kereta miliknya manakala dua kenderaan lagi mengalami kerosakan. – Bernama, 16 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen