KERAJAAN sama sekali tidak pernah meminggirkan masyarakat India dalam negara malah merancang pelbagai inisiatif bagi memperkasakan komuniti itu.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara K Saraswathy berkata pada persidangan meja bulat bersama wakil badan bukan kerajaan (NGO) komuniti India di Kuala Lumpur hari ini, pihak berkenaan membangkitkan beberapa perkara antaranya berasa terpinggir daripada setiap inisiatif yang diperkenalkan kerajaan.
Menurut Saraswathy beliau sudah memberikan penerangan berkaitan inisiatif kerajaan kepada wakil NGO terlibat selain meminta mereka memberikan kerjasama baik agar isu berbangkit dapat diselesaikan secara baik.
“Sebagai contoh saya sudah menyentuh perihal inisiatif IPR (Inisiatif Pendapatan Rakyat) yang diumumkan oleh Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) untuk membasmi kemiskinan tegar melalui program insan, ihsan dan sebagainya.
“Walaupun itu adalah inisiatif baik, boleh membantu sedikit sebanyak meningkatkan (taraf hidup) masyarakat India keluar daripada belenggu kemiskinan, tetapi maklumat itu tidak sampai kepada mereka yang lebih memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Meja Bulat: The Current State of Indians and way forward! berkenaan di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran.
Saraswathy berkata pendekatan kerajaan ketika ini ialah berdasarkan ‘need based’ atau berasaskan keperluan dalam memastikan tiada yang terpinggir, justeru sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang diperkenalkan awal bulan ini mampu memastikan perkara itu tercapai.
“Jadi sebarang permohonan bagi proses kelulusan itu akan menjadi lebih mudah berbanding sebelumnya,” katanya. – Bernama, 20 Januari, 2024.
Komen