Kunjungan Krismas cuma untuk penerima vaksin lengkap, kata menteri


Noel Achariam

Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique berkata nyanyian karol tidak dibenarkan tahun ini, namun gereja dibenar buat upacara sembahyang serta koir boleh buat persembahan ikut SOP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2021.

AKTIVITI berkunjung ke rumah untuk perayaan Krismas hanya dibenarkan bagi mereka yang telah divaksin sepenuhnya, kata Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata nyanyian karol tidak dibenarkan tahun ini selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan.

Halimah berkata gereja dibenarkan mengadakan upacara sembahyang dan koir boleh membuat persembahan asalkan mematuhi SOP.

“Persembahan koir di gereja dibenarkan dengan mematuhi penjarakkan fizikal tidak kurang dan 1 meter dan diwajibkan memakai pelitup muka atau pelindung muka,,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi gerai jualan Krismas, beliau berkata ia tertakluk kepada kelulusan dan kawalan pihak berkuasa tempatan.

Halimah turut menggesa penganut Kristian meraikan perayaan ini dalam norma baharu.

“Sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan diri, dan memastikan penjarakkan fizikal dalam usaha kita memutuskan rantaian Covid-19 di Malaysia.”

SOP untuk untuk 24 dan 25 Disember itu telah dibincangkan dan diluluskan oleh mesyuarat menteri Covid-19 ke-10 pada Selasa.

Awal hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata tidak akan ada sambutan akhir tahun secara besar-besaran selepas dua kes varian Omicron dikesan di Malaysia dalam tempoh sebulan.

Beliau bagaimanapun berkata, perjumpaan kecil dan peribadi antara keluarga rapat dan rakan-rakan dibenarkan.

“Mereka yang datang ke perayaan kecil dan persendirian untuk Malam Tahun Baru perlu buat ujian terlebih dahulu,” katanya. – 16 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen