Gempa bumi Jepun: Latihan pemindahan buahkan hasil


Ombak tsunami mula melanda Suzu di Jepun sejurus selepas gegaran berukuran 7.6 pada skala Richter melanda sekitar pukul 4.10 petang. – Gambar AFP, 17 Januari, 2024.

PENDUDUK di sebuah daerah di Semenanjung Noto Jepun berjaya berpindah dengan selamat ketika tsunami melanda daerah itu pada 1 Januari lepas sekali gus membuktikan latihan pemindahan yang dijalankan sejak bertahun-tahun membuahkan hasil.

“Ia bukan satu keajaiban. Latihan itu berjaya membuahkan hasil,” kata seorang penduduk daerah Jikeshimode Misaki di Suzu, dekat dengan wilayah Ishikawa.

Daerah itu mempunyai kira-kira 90 penduduk yang kebanyakannya terdiri warga emas, menurut Jiji Press.

Walaupun banyak rumah runtuh namun semua penduduk berjaya berpindah ke kawasan lebih selamat dalam tempoh kira-kira lima minit.

Ombak tsunami mula melanda daerah itu sejurus selepas gegaran berukuran 7.6 pada skala Richter melanda sekitar pukul 4.10 petang.

Penduduk di kawasan berkenaan menjalani latihan sebanyak sekali atau dua kali setahun selepas gempa bumi dan tsunami melanda timur laut Jepun pada Mac 2011.

Dalam setiap latihan masa yang diambil untuk berpindah ke kawasan selamat direkodkan.

“Ketika gempa berlaku, meskipun saya panik dan tidak dapat berfikir dengan tenang tetapi tahu ke mana saya perlu pergi,” kata Toshitaka Okuhama, 68.

Seorang wanita berusia 53 tahun berkata ombak tsunami datang dengan pantas dan tidak tahulah apa nasib kami jika tidak bertindak dengan cepat.

“Semua orang mungkin mati jika latihan tidak dijalankan secara berkala,” katanya. – Bernama, 17 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen