Landasan Lapangan Terbang Haneda dibuka semula selepas nahas pesawat


Satu daripada empat landasan di Lapangan Terbang Haneda Tokyo dibuka semula selepas serpihan bangkai pesawat JAL dibersihkan manakala kerja pembaikan selesai. – Gambar AFP, 8 Januari, 2024.

SEBUAH landasan di Lapangan Terbang Haneda Tokyo dibuka semula pada Isnin, selepas insiden perlanggaran antara pesawat penumpang Japan Airlines (JAL) dan pesawat Pengawal Pantai Jepun memaksa penutupan landasan itu, lapor Xinhua.

Landasan C, satu daripada empat landasan di lapangan terbang paling sibuk di negara itu dibuka semula selepas serpihan bangkai pesawat JAL dibersihkan manakala kerja pembaikan selesai.

Penutupan Landasan C susulan nahas itu menyebabkan pembatalan lebih 1,200 penerbangan, menjejaskan lebih 200,000 penumpang semasa cuti Tahun Baharu yang sibuk, lapor Kyodo News.

Pesawat JAL berlanggar dengan pesawat Pengawal Pantai di Landasan C semasa mendarat pada 2 Januari dengan kedua-dua pesawat terbakar.

Kesemua 379 penumpang dan anak kapal di dalam penerbangan JAL berjaya diselamatkan tetapi lima daripada enam kru Pengawal Pantai terbunuh manakala juruterbang yang terselamat cedera parah. – Bernama, 8 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen