Parlimen penggal tetap bukan keutamaan kerajaan perpaduan, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim akui ada cadangan menggubal Akta Parlimen berpenggal tetap tetapi ia bukan keutamaan kerajaan buat masa ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2024.

CADANGAN Akta Parlimen berpenggal tetap bukanlah keutamaan buat masa ini bagi kerajaan perpaduan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kami (pemimpin kerajaan perpaduan) belum membincangkannya lagi. Ia agak awal (untuk diulas).

“Ada cadangan, tetapi pada saya, ia bukan keutamaan,” katanya kepada media semasa satu majlis pagi tadi.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya rang undang-undang Parlimen berpenggal tetap diperkenalkan bagi memastikan kerajaan yang berkuasa dikekalkan sehingga tamat penggalnya.

Beliau berkata ini akan mengelakkan berulangnya kejadian perdana menteri ditukar tiga kali dalam penggal Parlimen ke-14.

Mengulas cadangan itu, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata cadangan untuk menggubal undang-undang untuk Parlimen berpenggal tetap bukanlah tindakan terdesak.

Sebaliknya, ia mencerminkan komitmen kerajaan perpaduan untuk menghormati mandat pilihan raya dan proses demokrasi serta memastikan kestabilan politik dalam keadaan geopolitik yang tidak menentu, katanya.

“Terdapat banyak negara mengamalkan Parlimen berpenggal tetap dengan garis masa yang dipersetujui untuk pilihan raya bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi serta mengelakkan percubaan merebut kuasa yang boleh memudaratkan sistem demokrasi berparlimen mereka.

“Parlimen berpenggal tetap juga akan memastikan semua agenda dan dasar pembaharuan dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. – 16 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen