PBB gesa gencatan senjata segera di Gaza


Asap tebal kelihatan di Gaza susulan bom dibedil tentera zionis Israel. Sekurang-kurangnya 24,000 rakyat Palestin syahid sementara 1,300 Israel maut sejak 7 Oktober. – Gambar EPA, 16 Januari, 2024.

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mendesak gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza, ketika pertempuran antara Israel dan pejuang Palestin berlarutan lebih 100 hari.

“Kami memerlukan gencatan senjata kemanusiaan segera. Untuk memastikan bantuan mencukupi sampai ke tempat diperlukan. Untuk memudahkan pembebasan tebusan.

“Untuk meredakan bahang peperangan lebih luas kerana semakin lama konflik di Gaza, semakin besar risiko peningkatan dan salah perhitungan,” kata Guterres pada taklimat media di New York.

Peperangan yang dicetuskan oleh serangan mengejut Hamas ke atas Israel mencipta malapetaka kemanusiaan untuk 2.4 juta penduduk di wilayah Palestin yang dikepung.

Rejim Zionis melancarkan kempen ketenteraan tanpa henti sejak 7 Oktober yang membunuh sekurang-kurangnya 24,100 di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan kerajaan Hamas.

PBB berkata pertempuran yang berlarutan lebih tiga bulan menyebabkan kira-kira 85% penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal, bersesak-sesak ke tempat perlindungan dan bergelut untuk mendapatkan makanan, air, bahan api dan rawatan perubatan.

Guterres mengecam situasi kemanusiaan di Gaza yang dikatakannya sukar digambarkan.

Majoriti kakitangan PBB Palestin meninggalkan rumah mereka dan 152 kakitangan terbunuh sejak 7 Oktober, kata Guterres – “kehilangan nyawa terbesar dalam sejarah organisasi kami”.

Dengan akses bantuan yang sukar sampai kepada pihak memerlukan, penduduk Palestin di Gaza kini berdepan kebuluran.

“Tiada apa-apa yang boleh membenarkan hukuman kepada rakyat Palestin,” kata Guterres.

Pemimpin PBB itu juga memberi amaran mengenai limpahan konflik, termasuk merentasi sempadan Lubnan-Israel.

“Ini berisiko mencetuskan peningkatan yang lebih meluas… dan menjejaskan kestabilan serantau secara mendalam,” katanya. – AFP, 16 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen