Nasib 600 pesakit dan petugas hospital Al-Aqsa tidak diketahui


Pesakit dan pekerja kesihatan Hospital Al-Aqsa Martyrs di Semenanjung Gaza terpaksa dipindahkan berikutan pertempuran yang berterusan dan perintah berpindah oleh rejim Israel. – Gambar EPA, 8 Januari, 2024.

TIADA sebarang maklumat mengenai nasib lebih 600 pesakit dan kakitangan perubatan Hospital Al-Aqsa Martyrs di Semenanjung Gaza sejak diarahkan berpindah, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus, lapor Sputnik.

Menurut pengarah hospital itu, pesakit dan pekerja kesihatan itu terpaksa dipindahkan berikutan pertempuran yang berterusan dan perintah berpindah oleh rejim Israel namun lokasi mereka masih tidak dapat dipastikan. 

Tedros berkata disebabkan keadaan yang berbahaya dan tidak mendapat kebenaran yang sepatutnya, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu terpaksa membatalkan satu lagi misi di utara Semenanjung Gaza menyebabkan tiada kemudahan perubatan berfungsi sepenuhnya di utara wilayah itu.

Sementara itu, pejabat WHO di wilayah Palestin yang diduduki berkata buat kali keempat sejak 26 Disember lepas, pihaknya terpaksa membatalkan misi yang dirancang di utara Gaza selepas gagal menerima jaminan keselamatan.

“Misi itu merancang untuk memindahkan bekalan perubatan yang sangat diperlukan untuk mengekalkan operasi lima hospital di utara, termasuk Al-Awda,” tulis WHO di X. – Bernama, 8 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen