WHO bimbang amaran kosongkan Hospital Al-Quds


Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) menyatakan adalah mustahil untuk memindahkan 500 pesakit di Hospital Al-Quds dengan selamat. – Gambar Facebook PRCS, 21 Oktober, 2023.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu menyuarakan kebimbangan terhadap amaran Israel supaya mengosongkan Hospital Al-Quds yang terletak di utara Semenanjung Gaza.

“Selain menempatkan pesakit dan petugas kesihatan, ratusan lagi yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sedang berlindung di kawasan hospital itu…,” kata WHO menerusi catatan di X, lapor agensi berita WAFA.

Selain itu, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus turut melahirkan kebimbangan mengenai ancaman Israel itu, menerusi catatan di akaun X beliau.

“Seperti yang WHO tegaskan berulang kali, mustahil untuk petugas di hospital yang sesak itu mampu untuk memindahkan pesakit dengan selamat.

“Mereka (petugas) mesti dibenarkan melaksanakan fungsi mereka untuk menyelamatkan nyawa. Mereka mesti dilindungi,” tegas beliau.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Palestin, Mai Alkaila merayu masyarakat antarabangsa dan semua pertubuhan hak asasi manusia untuk campur tangan dan melindungi Hospital Al-Quds di Gaza daripada ancaman serangan Israel. – Bernama, 21 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen