Beri ruang, kelonggaran IPT wujud idea baharu pendidikan, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata disiplin yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu, amat diperlukan oleh mahasiswa negara ini agar boleh menjadi lebih berdaya saing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mahu kepimpinan di institusi pengajian tinggi (IPT) diberi ruang dan kelonggaran untuk mewujudkan idea-idea baharu dalam bidang pendidikan negara. 

Perdana menteri berkata langkah ini penting bagi memastikan IPT negara mampu bersaing dengan lebih baik di peringkat serantau dan dunia, sekali gus melahirkan mahasiswa berdisiplin dan berkualiti tinggi. 

“Kementerian Pendidikan Tinggi hanya harus selaraskan (program) bagi mengelakkan apa-apa pertindihan atau permasalahan, tapi beri lebih banyak ruang kepada unversiti, lihat lebih banyak program yang lebih baik, kalau tidak kita ubah kepimpinan (IPT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir hari ini.

Berdasarkan pengalamannya sebagai tenaga pengajar, termasuk sebagai felo pelawat (visiting fellow) di beberapa universiti, Anwar melihat walaupun sistem pendidikan barat mempunyai kelemahan, namun ia juga memiliki kelebihan dalam beberapa aspek, termasuk displin pembelajaran yang tinggi. 

Perdana menteri berkata disiplin yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu, amat diperlukan oleh mahasiswa negara ini agar boleh menjadi lebih berdaya saing, misalnya dalam sudut pembangunan kajian lebih berkualiti dan bermanfaat. 

“Saya tidak fikir kita boleh bersaing dalam dunia pendidikan, melawan China, Taiwan, Finland dan negara lain, kalau mahasiswa tidak memiliki disiplin yang tinggi,” katanya. 

Menyentuh soal bahasa, Anwar berkata walaupun penggunaan Bahasa Melayu diutamakan dalam pengajaran dan pembelajaran, namun IPT juga haruslah melihat kepada kepentingan meningkatkan mutu penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan mahasiswa bermula sekarang. 

Mengambil contoh Indonesia dan Thailand, beliau berkata walaupun kedua-dua negara berkenaan dilihat serius dalam mengutamakan penggunaan bahasa ibunda masing-masing, namun penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan anak muda mereka di universiti tempatan, jauh lebih baik berbanding Malaysia. 

“Jadi jangan kita jadinya menjerit soal bahasa, kemudian fobia bila kita sebut penguasaan Bahasa Melayu, ada juga golongan yang agak elit, dia fobia bila sebut ini,” katanya. 

Sementara itu, perdana menteri turut mengajak golongan pemikir, intelek dan ahli akademik untuk bersama-sama membantu beliau dalam memperbaiki kelemahan negara, selain mengangkat martabat anak-anak muda dalam pembelajaran. 

“Pokoknya dalam kalangan pemikir bangsa, keutamaannya adalah menggunakan ruang perbaiki kelemahan kita, keutamaan kita mendidik anak-anak kita supaya dalam masa lima enam tahun, mereka bersaing dengan yakin dengan negara-negara maju di dunia ini.

“Tidak mudah tapi saya yakin dengan kekuatan Kerajaan Perpaduan walaupun ia rencam, saya belum hadapi satu pun masalah besar tatkala merangka keutamaan penting baik ekonomi, pelaburan, digital atau tenaga,” katanya. 

Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selama dua hari bermula hari ini bertujuan menyelaraskan semula strategi, merangka hala tuju strategik KPT, mencadangkan program atau inisiatif serta membincangkan isu-isu strategik berkaitan KPT dan cadangan penyelesaian bagi tahun ini. 

Pelaksanaan objektif wacana ini diterjemahkan dalam beberapa sesi pembentangan dan forum secara interaktif oleh pembentang, ahli panel serta pakar dalam bidang masing-masing. – Bernama, 5 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen