AS kecam gesaan menteri Israel agar rakyat Palestin berhijrah dari Gaza


Sekurang-kurangnya  21,978 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh dan 57,697 yang lain cedera dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lepas. – Gambar EPA, 3 Januari, 2024.

AMERIKA Syarikat (AS) pada Selasa mengecam komen kontroversi dibuat dua menteri Israel yang berkata rakyat Palestin perlu digalakkan berhijrah dari Gaza dan benarkan Yahudi kembali ke wilayah yang dikepung.

Jurucakap Jabatan Negara Matthew Miller berkata Washington “menolak kenyataan baru-baru ini daripada Menteri Israel Bezalel Smotrich dan Itamar Ben Gvir yang menyokong penempatan semula penduduk Palestin di luar Gaza.”

“Retorik ini menghasut dan tidak bertanggungjawab,” tambah Miller, yang mengulangi pendirian AS yang “jelas, konsisten, dan tidak berbelah bahagi” bahawa “Gaza adalah tanah Palestin dan akan kekal sebagai tanah Palestin, dengan Hamas tidak lagi mengawal masa depannya dan tanpa keganasan kumpulan yang boleh mengancam Israel.”

Ben Gvir, menteri keselamatan negara Israel, menggesa pada Isnin mempromosikan “penyelesaian untuk menggalakkan penghijrahan penduduk Gaza.”

Israel secara unilateral menarik balik tentera dan penduduk terakhirnya dari Gaza pada 2005, menamatkan kehadirannya di Gaza yang bermula pada 1967 tetapi mengekalkan kawalan sepenuhnya ke atas sempadan wilayah itu.

Kerajaan di bawah Perdana Menteri Benjamin Netanyahu tidak secara rasmi mencadangkan ia mempunyai sebarang rancangan untuk mengusir penduduk Gaza atau menghantar semula penduduk Yahudi ke wilayah itu sejak perang semasa meletus pada 7 Oktober.

Tetapi Ben Gvir berhujah yang pemergian rakyat Palestin dan penubuhan semula penempatan Israel “adalah penyelesaian yang betul, adil, bermoral dan berperikemanusiaan.”

“Ini adalah peluang membangunkan projek untuk menggalakkan penduduk Gaza berhijrah ke negara-negara di seluruh dunia,” katanya pada pertemuan ultranasionalisnya Otzma Yehudit, atau parti “Kuasa Yahudi”.

Komennya dibuat sehari selepas menteri kewangan sayap kanan Israel, Smotrich turut menyeru orang Yahudi pulang ke Gaza, serta berkata Israel harus “menggalakkan” kira-kira 2.4 juta penduduk Palestin meninggalkan wilayah itu.

Perang Gaza terbaharu bermula pada 7 Oktober apabila Israel memulakan pengeboman tanpa henti dan serangan darat membunuh sekurang-kurangnya 22,185 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza.

Ssusulan pertempuran sengit berterusan, 85% penduduk di Semenanjung Gaza kehilangan tempat tinggal, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – AFP, 3 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen