Kecederaan, kerosakan dilaporkan selepas gempa bumi besar di tengah Jepun


Gempa bumi kuat di pantai barat Jepun semalam menyebabkan banyak kerosakan dan kecederaan dilaporkan di negara itu. – Gambar AFP, 2 Januari, 2024.

LEBIH banyak kerosakan dan kecederaan dilaporkan selepas gempa bumi kuat menggegarkan pantai barat Jepun semalam ketika negara ini menyambut Tahun Baru, mencetuskan amaran tsunami dan perintah evakuasi di beberapa wilayah, lapor Xinhua.

Siri gempa bumi kuat dengan gempa terkuat mencapai magnitud 7.6 melanda kawasan luas di pantai Laut Jepun di Jepun Tengah pada petang Isnin, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

Menurut JMA, dalam siri gempa bumi itu, gempa utama berlaku pada pukul 4:10 petang waktu tempatan (0710 GMT) pada kedalaman cetek, mencatat maksimum 7 pada skala intensiti seismik Jepun di Semenanjung Noto di wilayah Ishikawa. JMA telah secara rasmi menamakannya sebagai Gempa Bumi Semenanjung Noto 2024.

Terdapat enam kes orang awam yang tertimbus selepas rumah runtuh di Wajima, wilayah Ishikawa di mana kebakaran berskala besar berlaku selepas gempa bumi itu, kata Ketua Setiausaha  Kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi dalam sidang media kecemasan.

Hayashi berkata kebakaran berlaku pada transformer di stesen kuasa nuklear Shika Hokuriku Electric Power Company di Wilayah Ishikawa dan menambah kebakaran itu dipadamkan dan tidak ada impak ke atas loji nuklear itu.

Beliau dalam kenyataan awalnya berkata tidak ada kerosakan yang dikesan di loji nuklear berkenaan selepas gempa bumi besar itu.

Menurut pihak berkuasa tempatan, dua wanita dibawa ke hospital selepas terjatuh atau terkena objek yang jatuh atas mereka di Awara, wilayah Fukui.

Seorang wanita berusia 80-an di Itoigawa, wilayah Niigata, terjatuh semasa berpindah dan mengalami kecederaan di kepala.

Perdana Menteri Fumio Kishida menggesa kementerian dan agensi berkaitan untuk menilai kerosakan gempa bumi secepat mungkin memastikan keselamatan orang awam, menyelamatkan mangsa dan menyediakan maklumat yang sesuai kepada orang awam.

Gabenor Ishikawa, Hiroshi Hase meminta Pasukan Pertahanan Diri menghantar ahli untuk misi bantuan bencana, kata Hayashi.

Laporan media tempatan terkini menunjukkan beberapa kes longsor tanah serta runtuhan jalan dilaporkan di beberapa bandar termasuk Niigata.

Berapa jalan dan rumah di Wilayah Ishikawa mengalami kerosakan akibat gempa bumi kuat dan banyak rumah runtuh di kawasan Noto dan bandar Hakui di wilayah itu dengan kira-kira 32,500 rumah terputus bekalan elektrik.

Di bandar Kanazawa Ishikawa, rakaman video yang diambil oleh penumpang keretapi menunjukkan gempa bumi yang menggoncang platform keretaapi tempatan dan gerabak keretaapi.

Gerbang torii kuil di Kanazawa runtuh akibat gempa bumi tanpa laporan kecederaan di kawasan sekitar, menurut agensi berita nasional Kyodo.

All Nippon Airways mengumumkan sejumlah 16 penerbangan yang berlepas dari dan tiba di lapangan terbang Shonai, Niigata, Noto dan Komatsu pada Isnin akan dibatalkan akibat gempa bumi menjejaskan perjalanan kira-kira 1,450 orang.

Japan Airlines juga membatalkan sejumlah sembilan penerbangan yang berlepas dari dan tiba di lapangan terbang Niigata dan Komatsu. Kira-kira 730 penumpang terjejas.

East Japan Railway Company menghentikan semua perkhidmatan keretapi laju Shinkansen di sepanjang laluan Joetsu dan Hokuriku di wilayah Ishikawa. Ketika ini tidak ada prospek untuk menyambung semula operasi, menurut sumber.

JMA sebelum ini mengeluarkan amaran tsunami untuk sebahagian besar pantai barat, termasuk Ishikawa, Fukui, Niigata, Toyama, Yamagata dan wilayah lain susulan gempa bumi kuat termasuk amaran tsunami besar yang dikeluarkan untuk wilayah Ishikawa.

Ini adalah kali pertama amaran tsunami besar dikeluarkan sejak gempa bumi 2011 di timur laut Jepun. Amaran tsunami besar dikeluarkan apabila dijangkakan tsunami setinggi 3 meter atau lebih.

Ishikawa, di mana pusat gempa bumi utama berlaku mengalami gelombang tsunami kecil lebih daripada 1.2 meter pada pukul 4:21 petang waktu tempatan.

Wilayah Toyama melaporkan gelombang tsunami 50 sentimeter pada pukul 4:23 petang waktu tempatan, menurut laporan media tempatan.

Banjir air boleh mencapai setinggi 5 meter dan pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk menyelamatkan diri dengan berpindah ke kawasan tinggi atau atas bangunan berdekatan dengan secepat mungkin, menurut penyiar awam NHK.

Jepun Tengah mungkin mengalami gempa bumi dengan intensiti maksimum pada skala tujuh dalam masa seminggu akan datang, kata JMA semasa taklimat pada petang semalam, menggesa orang ramai di kawasan itu untuk sentiasa berwaspada terhadap gegaran kuat yang mungkin berlaku. – Bernama, 2 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen