Banjir tidak jejaskan bekalan makanan di Terengganu


Kementerian belum menerima sebarang laporan mengenai bekalan yang terjejas di Terengganu akibat banjir. – Gambar Facebook Umno Hulu Terengganu Rasmi, 27 Disember, 2023.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu memberi jaminan bekalan makanan di negeri itu tidak terjejas akibat banjir. 

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata KPDN sebelum ini sudah melantik pemborong dan peruncit terpilih di daerah yang diberikan kebenaran untuk menambah stok bekalan melebihi 30% daripada had simpanan lesen. 

“Kebenaran itu diberikan KPDN supaya bekalan makanan sentiasa mencukupi terutama di kawasan terlibat banjir. Setakat ini, kita belum terima laporan bekalan makanan terjejas di Terengganu akibat banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan pek makanan (Food Bank) kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong di Kuala Berang hari ini. 

Mengulangi kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali, Saharuddin berkata sukarelawan yang ingin menghulurkan bantuan barangan makanan dan keperluan asas kepada mangsa banjir dinasihatkan supaya mendapatkan stok bekalan dari luar kawasan terjejas banjir. 

“Kita risau kalau bekalan untuk bantuan diambil dari kawasan terjejas banjir, ia akan mengganggu keperluan penduduk sekitar. 

“Disarankan juga untuk buat semakan dengan sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri terlebih dahulu untuk pastikan barangan yang diperlukan di PPS, sebab kita tidak mahu terjadinya lambakan barangan makanan di PPS,” katanya. 

Pada program hari ini, sebanyak 144 unit bekalan makanan sumbangan Sekretariat Food Bank Malaysia yang merupakan sebuah pertubuhan di bawah KDPN akan diserahkan kepada kira-kira 6,000 mangsa banjir di beberapa PPS terpilih. – Bernama, 27 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen