Filem Pendatang akan terus ditayangkan di YouTube, kata penerbitnya Kuman Pictures.
Ia menganggap cadangan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Kamil Othman agar filem itu ditayangkan di sekolah sebagai “pendapat peribadi”.
“Kami anggap kenyataan itu sekadar pendapat peribadi yang ada unsur hiperbola. Tidak mencerminkan pendirian Finas.
“Kami akan terus tayang dengan cara yang dibuat sekarang saja,” kata syarikat penerbit filem itu melalui platform X.
Kenyataan Kuman Pictures hari ini adalah reaksi kepada kenyataan Kamil juga di X yang dipetik oleh media semalam.
Kamil berpendapat filem Pendatang boleh menggalakkan perbincangan sihat dalam kalangan murid dan pelajar mengenai masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
“(Pendatang) patut ditayangkan di sekolah untuk membuka perbincangan dan merungkai persepsi dan prejudis yang mendalam.
“Langkah kecil ke arah destinasi yang diimpikan,” tulisnya di X, kelmarin.
‘Pendatang’ sebuah filem dystopian thriller berlatarbelakangkan Malaysia pada suatu masa yang tidak dinyatakan yang baru saja melalui satu tragedi kaum yang besar.
Berikutan peristiwa yang disebut sebagai 927, satu undang-undang baru diperkenalkan yang melarang pergaulan antara kaum.
Kisah filem ini bermula dengan sebuah keluarga Cina berpindah ke sebuah rumah “diperuntukkan” kepada mereka dan mendapati seorang kanak-kanak perempuan Melayu sedang bersembunyi di situ.
Keadaan itu meletakkan mereka dalam dilema moral sama ada mengusir dan membahayakan kanak-kanak itu atau membahayakan diri mereka sendiri dengan menyeludup kanak-kanak itu ke “kawasan Melayu”.
Filem itu ditayangkan secara percuma di YouTube, tindakan yang disengajakan kerana Pendatang diterbitkan sepenuhnya dengan dana yang dikumpulkan daripada orang ramai.
Sehingga hari ini Pendatang sudah menarik lebih 380,000 tontonan selepas empat hari dimuat naik di YouTube.
Kebanyakan komen kepada filem itu memberi tumpuan kepada bagaimana aspek perkauman ditonjolkan dan bagaimana rakyat Malaysia patut mempunyai pengetahuan lebih mendalam mengenai itu itu.
Pengarah filem itu, Ng Ken Kin, berkata filem itu tidak akan diluluskan untuk ditayang di pawagam tempatan dan kerana itu ia ditayangkan secara percuma di YouTube kepada umum. – 26 Disember, 2023.
Komen