Tayang ‘Pendatang’ di sekolah, kata pengerusi Finas


‘Pendatang’ diterbitkan Kuman Pictures adalah filem dispotian triler berlatarbelakangkan Malaysia yang pergaulan kaum tidak dibenarkan oleh undang-undang menekan. – Gambar Kuman Pictures, 25 Disember, 2023.

PENGERUSI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mencadangkan filem bebas, ‘Pendatang’ untuk ditayangkan di sekolah.

Kamil Othman berkata filem itu boleh menggalakkan perbincangan sihat.

“(Pendatang) patut ditayangkan di sekolah untuk membuka perbincangan dan merungkai persepsi dan prejudis yang mendalam.

“Langkah kecil ke arah destinasi yang diimpikan,” tulisnya di X, semalam.

‘Pendatang’ sebuah filem dystopian thriller berlatarbelakangkan Malaysia pada suatu masa yang tidak dinyatakan yang baru saja melalui satu tragedi kaum yang besar.

Kisah filem ini bermula dengan sebuah keluarga Cina berpindah ke sebuah rumah “diperuntukkan” kepada mereka dan mendapati seorang kanak-kanak perempuan Melayu sedang bersembunyi di situ.

Keadaan itu meletakkan mereka dalam dilema moral sama ada mengusir dan membahayakan kanak-kanak itu atau membahayakan diri mereka sendiri dengan menyeludup kanak-kanak itu ke “kawasan Melayu”.

Filem itu ditayangkan secara percuma di YouTube, tindakan yang disengajakan kerana Pendatang diterbitkan sepenuhnya dengan dana yang dikumpulkan daripada orang ramai.

Sehingga hari ini Pendatang sudah menarik lebih 380,000 tontonan selepas empat hari dimuat naik di YouTube.

Kamil optimis apabila ditanya sama ada penayangan filem itu akan diluluskan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

“Tak boleh bercakap bagi pihak LPF tetapi melihat filem itu secara objektif, beberapa kelonggaran mungkin wujud,” katanya menjawab soalan diberikan pengguna X.

Kebanyakan komen kepada filem itu memberi tumpuan kepada bagaimana aspek perkauman ditonjolkan dan bagaimana rakyat Malaysia patut mempunyai pengetahuan lebih mendalam mengenai itu itu.

Pengarah filem itu, Ng Ken Kin, berkata filem itu tidak akan diluluskan untuk ditayang di pawagam tempatan dan kerana itu ia ditayangkan secara percuma di YouTube kepada umum. – 25 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen