Lebih 100 kenderaan terkandas di Gua Musang


Jalan Lojing-Pos Blau-Kuala Betis dinaiki air akibat limpahan Sungai Brooke. – Gambar Facebook Roadcare Gua Musang, 24 Disember, 2023.

HUJAN berterusan sejak semalam menyebabkan air Sungai Brooke melimpahi Jalan Lojing-Pos Blau-Kuala Betis di Pos Blau, Gua Musang sekali gus menyebabkan laluan itu terpaksa ditutup kepada semua kenderaan bermula jam 8 pagi tadi.

Penduduk Orang Asli dari Pos Brooke, Murad Mat, 44, berkata kejadian disedari penduduk pada kira-kira jam 6 pagi tadi.

“Kira-kira 7 pagi tadi, saya keluar untuk pergi bekerja di bandar Gua Musang dan menyedari air melimpah dari anak Sungai Brooke mencecah paras paha di atas jalan dan menenggelamkan kira-kira 50 meter laluan utama.

“Air biasanya akan memakan masa yang agak lama untuk surut, jadi akan menjejaskan perjalanan pengguna. Saya terpaksa berpatah balik ke rumah dan mengambil cuti hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi hari ini.

Penunggang motosikal Hazwan Mat Hazmi, 36, yang dalam perjalanan pulang dari Temerloh, Pahang menuju ke Tanah Tinggi Lojing berkata, beliau bersama sembilan rakan konvoi yang lain terkandas sejak jam 6 pagi tadi.

“Sampai sahaja di sini pada jam 6 pagi tadi jalan sudah ditenggelami air dan kami terkandas hingga kini kerana air belum surut lagi,” katanya.

Menurut Aminah Zakaria, 45, penduduk dari Kampung Pos Blau, kejadian banjir kilat kerap berlaku di kawasan itu sekiranya hujan berterusan dalam jangka masa yang lama.

“Ini kali kelima berlaku banjir tahun ini. Sebelum ini pihak berwajib sudah pun membersihkan dan menggali kawasan sungai, tetapi nampaknya masih tiada penyelesaian.

“Harapan saya semoga pihak berwajib dapat memikirkan cara lain untuk mengatasi kejadian ini. Kasihanlah penduduk dan pengguna yang kerap terhalang dan terkandas kerana ini adalah laluan utama,” katanya.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati setakat jam 12 tengah hari, lebih 100 kenderaan tidak dapat meneruskan perjalanan melalui laluan berkenaan.

Sementara itu laman sesawang https://bencanaalam.jkr.gov.my turut memaklumkan selain Jalan Lojing-Pos Blau-Kuala Betis, jalan masuk ke Felda Aring dan jalan masuk ke Ciku 7 dan Ciku 8 turut ditutup kepada semua kenderaan. – Bernama, 24 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen