Semua 14 mangsa tembakan di universiti Prague dikenal pasti


Orang ramai menyalakan lilin sebagai tanda penghormatan dan mengingati mangsa kejadian tembakan di Universiti Charles, Prague. – Gambar AFP, 23 Disember, 2023.

POLIS Czech mengenalpasti kesemua 14 mangsa serangan lelaki bersenjata di sebuah kampus universiti di Prague pada Khamis, kata ketua polis Petr Matejcek.

Beliau berkata 14 orang terbunuh manakala 25 lagi cedera dalam serangan di koridor dan kelas di Fakulti Sastera di Universiti Charles, lapor Agensi Anadolu.

Suspek kemudian menembak dirinya sendiri selepas dikepung pihak polis dari semua arah, kata Matejcek dalam sidang media pada Jumaat.

Bukti menunjukkan lelaki bersenjata itu adalah pelaku yang sama dalam kes pembunuhan di hutan Klanovicky berhampiran Prague seminggu lalu di mana seorang lelaki dan anak perempuannya dibunuh.

“Namun kami sedang menunggu bukti kukuh bagi mengesahkannya. Sehingga itu, kami akan terus menyiasat jenayah di hutan berkenaan. Kami tidak boleh mengesahkannya 100% buat masa ini,” katanya.

Media tempatan mengenal pasti suspek sebagai David Kozak, 24 yang berasal dari perkampungan Hostoun di wilayah Kladno.

Lelaki itu merupakan seorang pelajar di fakulti terbabit dan memiliki senjata api secara sah dan tidak mempunyai rekod jenayah, menurut media kerajaan. – Bernama, 23 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen