14 maut, 25 cedera insiden tembakan di universiti Prague


Ambulans di tempat kejadian tembakan di Universiti Charles di Prague, Republik Czech, pada Khamis. Sebanyak 14 maut dalam kejadian tembakan terburuk di negara ini dalam beberapa dekad. – Gambar EPA, 22 Disember, 2023.

SEORANG pelajar berusia 24 tahun membunuh 14 individu dan mencederakan 25 lagi di sebuah universiti di Prague semalam dalam kejadian tembakan paling buruk di Republik Czech dalam beberapa dekad, sebelum pihak berkuasa berkata penyerang itu sudah “dihapuskan”.

Keganasan di pusat bersejarah bandar itu mendorong bangunan dikosongkan dengan tindak balas besar-besaran oleh polis bersenjata lengkap serta memberi amaran agar orang ramai tidak meninggalkan kediaman.

Insiden tembakan bermula di Fakulti Seni Universiti Charles, yang terletak berhampiran tapak pelancongan utama seperti Jambatan Charles abad ke-14.

“Pada masa ini saya boleh mengesahkan 14 mangsa jenayah ngeri itu dan 25 cedera, dengan 10 parah,” kata ketua polis Martin Vondrasek kepada pemberita

Kesemua mangsa terbunuh di dalam bangunan itu, katanya. Media berkata ia turut melibatkan rakan sekuliah lelaki bersenjata itu.

Kementerian luar Belanda mengesahkan seorang rakyatnya turut cedera.

Kerajaan mengisytiharkan hari berkabung negara pada 23 Disember, dengan bendera di bangunan rasmi dikibarkan separuh tiang dan orang ramai diminta bertafakur seminit pada tengah hari.

Senarai pelajar hilang dikongsi di media sosial manakala mereka yang selamat daripada insiden itu menghantar mesej untuk memaklumkan kepada rakan dan ahli keluarga mereka.

Vondrasek berkata polis memulakan pemburuan suspek sebelum kejadian tembakan apabila bapanya ditemui mati di perkampungan Hostoun di barat Prague.

Suspek bersenjata itu ke Prague dan memberitahu ingin membunuh diri, kata Vondrasek. Polis pada awalnya berkata lelaki bersenjata itu telah membunuh bapanya.

Polis menggeledah bangunan Fakulti Sastera di mana lelaki bersenjata itu dijangka hadir untuk kuliah, tetapi sebaliknya pergi ke bangunan utama fakulti berhampiran dan mereka tidak menemuinya.

“Pada 1359 GMT, kami menerima maklumat pertama mengenai tembakan,” kata Vondrasek kepada pemberita, sambil menambah unit tindak balas pantas berada di tempat kejadian dalam masa 12 minit.

“Pada 1420 GMT, pegawai yang bertindak memberitahu kami tentang mayat lelaki bersenjata itu yang tidak bergerak,” kata Vondrasek, sambil menambah maklumat yang tidak disahkan menunjukkan dia membunuh diri. – AFP, 22 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen