Presiden Perancis pertahan undang-undang imigresen


Presiden Perancis Emmanuel Macron semalam mempertahankan undang-undang imigresen yang diluluskan Parlimen meskipun berdepan kritikan. – Gambar AFP, 21 Disember, 2023.

PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron semalam mempertahankan undang-undang imigresen yang diluluskan Parlimen meskipun berdepan kritikan.

Menerusi temu bual dengan stesen France 5, Macron berkata undang-undang itu jelas bertujuan menghalang golongan migran daripada berhijrah ke Perancis secara tidak sah dan menghalang sistem sosial daripada terbeban, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pada masa yang sama pendatang yang sebelum ini bekerja tanpa dokumen akan diberikan permit menetap di bawah syarat-syarat tertentu.

Undang-undang kontroversi itu diluluskan oleh Parlimen pada Selasa, meski berdepan tekanan daripada parti pembangkang konservatif Les Republicains.

Bagaimanapun Macron berhasrat mengemukakan undang-undang itu kepada Majlis Perlembagaan susulan terdapat beberapa isu mengenai perlembagaan.

Majlis kemudian akan meneliti undang-undang berkenaan untuk menentukan kesahihannya. Beberapa bahagian kemungkinan perlu dipinda sebelum rancangan itu dikuat kuasa. – Bernama, 21 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen