Orang ramai diminta aktifkan fungsi notifikasi MySejahtera


Orang ramai diminta aktifkan fungsi notifikasi aplikasi MySejahtera bagi memastikan notifikasi bersasar dapat disampaikan dari semasa ke semasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2023.

ORANG ramai terutamanya individu positif Covid-19 diminta supaya mengaktifkan fungsi notifikasi aplikasi MySejahtera dalam telefon pintar masing-masing susulan peningkatan kes sejak beberapa minggu lalu.

Langkah itu penting bagi memastikan notifikasi bersasar dapat disampaikan dari semasa ke semasa, kata MySejahtera di platform X.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan sebanyak 20,696 kes Covid-19 dilaporkan dari 10 hingga 16 Disember adalah sebanyak 20,696 kes iaitu peningkatan 62.2% berbanding 12,757 yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Majoriti kes atau kira-kira 97% merupakan kategori satu (tiada gejala) dan dua (gejala ringan), dengan sebanyak 28 kes kematian dilaporkan, katanya pada sidang media semalam.

Beliau juga berkata kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan sekatan pergerakan meskipun berlaku peningkatan kes ketika ini.

Menurut beliau, KKM dan agensi bukan KKM seperti hospital pengajar, hospital tentera dan fasiliti swasta juga bersedia untuk menghadapi sebarang peningkatan jumlah kedatangan dan kemasukan pesakit ke wad.

Menteri itu juga menyarankan individu yang mempunyai penyakit darah tinggi, diabetes dan kanser agar melakukan ujian kendiri sekiranya bergejala dan melaporkannya dalam aplikasi MySejahtera. 

Dr Dzulkefly selain itu mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah pencegahan termasuk memakai pelitup muka di kawasan awam dan tertutup, mengelakkan kawasan sempit dan sesak serta mengambil vaksin Covid-19. – 19 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen