PUTRAJAYA perlu segera menjalankan semakan menyeluruh proses kelulusan status penduduk tetap (PR) bagi pasangan bukan warganegara Malaysia yang layak, kata sebuah kumpulan masyarakat sivil.
Ketua Penyelaras Family Frontiers Bina Ramanand berkata Malaysia mempunyai kira-kira 164,000 keluarga berlainan binasional (perkahwinan antara rakyat Malaysia dengan warga asing).
Beliau berkata pasangan bukan warganegara terus menghadapi halangan berkaitan pekerjaan, membuka akaun bank, dan memiliki harta mampu milik walaupun tinggal di negara ini selama bertahun-tahun.
“Pasangan suami isteri ini kekal bergantung sepenuhnya kepada pasangan warganegara Malaysia untuk mendapatkan visa dan hak mereka untuk bekerja, yang menyebabkan wanita asing terdedah kepada keganasan berasaskan jantina.
“Sangat sedikit pasangan yang dapat memperoleh PR, satu kelewatan proses tidak munasabah yang panjang, tanpa jaminan kelulusan dan tiada alasan jelas jika ia ditolak,” katanya dalam satu kenyataan.
Bina berkata sejak 2018, hanya empat kelulusan dilaporkan kepada Family Frontiers iaitu dua untuk pasangan dan dua lagi bagi kanak-kanak di bawah umur 6 tahun.
“Ini menyebabkan ramai pasangan bukan warganegara berada dalam situasi tidak stabil, menyukarkan mereka merancang dan menjamin masa depan mereka serta keluarga, yang menyebabkan banyak keluarga dengan profesional meninggalkan negara ini.”
Beliau berkata tinjauan 2022 oleh Family Frontiers dengan 65 responden yang memohon PR, mendedahkan tiada seorang mendapat kelulusan.
“Semua permohonan masih belum selesai, dengan 28% menunggu lebih dua tahun dan 30.2% daripada responden terus menunggu kelulusan PR selama lebih empat tahun.”
Bina juga mempersoalkan individu di bawah Program Rumah Keduaku Malaysia (MM2H) yang mendapat kelulusan pantas untuk PR dengan tinggal di negara ini selama 90 hari sahaja.
“Pada 15 Disember, perubahan baharu di bawah Program MM2H diumumkan, membolehkan mereka yang kaya mendapat akses kediaman tetap di negara ini asalkan memiliki simpanan tetap bermula daripada RM500,000 dalam bank tempatan.
“Ia sememangnya mengecewakan bagaimana kerajaan sanggup memberikan PR kepada individu yang tidak lama berada di negara ini, tetapi enggan memberikan PR kepada pasangan yang sudah berpuluh tahun menetap, mempunyai keluarga di sini dan turut menyumbang kepada ekonomi negara.”
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Tiong King Sing berkata tiga peringkat diperkenalkan untuk program MM2H, dengan warga asing yang kaya diberikan taraf penduduk jangka panjang di Malaysia.
“Peringkat perak, emas dan platinum baharu ini menyediakan visa kemasukan yang berbeza-beza berdasarkan peringkat, dan memerlukan pemohon mempunyai simpanan tetap di bank tempatan berjumlah RM500,000 bagi peringkat perak, RM2.5 juta (emas) dan RM5 juta (platinum),” katanya.
Bina juga menambah bagi pasangan bukan warganegara proses permohonan PR mereka samar-samar dengan masa menunggu yang panjang dan kadar kelulusan yang rendah.
“Keperluan dan garis panduan dokumen tidak mempunyai ketelusan dengan garis masa yang tidak munasabah antara dua hingga lima tahun tanpa jaminan kelulusan.
“Ramai pasangan asing dilaporkan mengalami ketidaktentuan dan tekanan lebih teruk disebabkan perkara ini.
“Selain itu, adalah penting bagi mereka yang menjadi balu untuk kekal di negara ini berdasarkan asas tertentu apabila anak-anak terpaksa bergantung kepada mereka.” – 19 Disember, 2023.
Komen