Putrajaya digesa tunai janji iktiraf anak dilahirkan wanita Malaysia di luar negara


Alfian Z.M. Tahir

Kerajaan diminta berpegang pada janji dan bertanggungjawab untuk melindungi wanita dan kanak-kanaknya. – Gambar EPA, 29 Julai, 2022.

KUMPULAN memperjuangkan hak pasangan warga asing di negara ini, Family Frontiers Malaysia menggesa Putrajaya menunaikan janji untuk meminda Perlembagaan bagi memudahkan kerakyatan bagi anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia.

Ia menuntut Putrajaya memberi maklumat terkini mengenai rancangan untuk melaksanakan atau membentangkan pindaan itu pada sidang Parlimen kali ini.

Kumpulan itu berkata pada 22 September tahun lepas, menteri dalam negeri mengumumkan komitmen kerajaan terhadap pindaan Perlembagaan bagi “memudahkan kewarganegaraan melalui pelaksanaan undang-undang untuk anak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara” di Parlimen.

“Pada 15 November 2021, menteri undang-undang de facto seterusnya berkata pindaan itu akan dibentangkan pada Julai 2022 bersama pindaan lain yang dalam perancangan.

“Kerajaan kini perlu menghormati komitmennya dan menyediakan wanita Malaysia dengan maklumat terkini,” kata kumpulan itu.

Pada Disember 2020, Family Frontiers memfailkan cabaran Perlembagaan di Mahkamah Tinggi, memohon pengisytiharan agar wanita Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing boleh secara automatik memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Kumpulan itu, yang dikenali sebelum ini sebagai Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor dan Kuala Lumpur, berkata ia bertujuan untuk memperkasakan semangat Perlembagaan Persekutuan, yang menggalakkan kesaksamaan dan, secara jelas di bawah Perkara 8(2), melarang diskriminasi, termasuk atas dasar jantina.

Family Frontiers bersama enam ibu warga Malaysia, memfailkan cabaran itu, menamakan kerajaan persekutuan sebagai defendan tunggal.

Tujuh plaintif itu antara lainnya turut memohon pengisytiharan yang Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama Jadual Kedua, Bahagian II, Seksyen 1(c) adalah diskriminasi dan melanggar Perkara 8, yang memberikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak dilahirkan di luar persekutuan yang bapanya, tetapi bukan ibu, adalah warganegara semasa kelahiran itu.

Kumpulan itu berkata penting bagi Putrajaya untuk berpegang pada janji dan tanggungjawab untuk melindungi wanita dan kanak-kanaknya.

Ia berkata dengan menangguhkan pembaharuan untuk hak kewarganegaraan sama rata wanita Malaysia, kerajaan dengan sengaja terus meletakkan wanita dan kanak-kanak dalam kedudukan bahaya dan keganasan.

“Wanita Malaysia hidup dalam ketidaktentuan seumur hidup; mereka juga hidup dengan kemungkinan terperangkap dalam perkahwinan toksik/penderaan apabila status undang-undang kanak-kanak itu bergantung sepenuhnya kepada bapa warga asing.

“Kanak-kanak terus dinafikan akses sama rata kepada hak asasi seperti penjagaan kesihatan, pendidikan sewajarnya dan hak untuk tinggal bersama keluarga mereka.

“Keadilan tertangguh adalah keadilan dinafikan. Berikan wanita Malaysia hak yang sama sebagai mana lelaki Malaysia untuk memberikan kewarganegaraan automatik kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara tanpa berlengah-lengah lagi,” tambah kumpulan itu. – 29 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen