LEBIH ramai golongan bumiputera bekerja pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya dengan penyertaan paling besar dalam sektor kesihatan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) bumiputera meningkat kepada 67.1% berbanding tahun 2021 (65.8%).
Beliau berkata data yang diperolehi menunjukkan penyertaan 92.7% bumiputera menjadi penolong pegawai perubatan dan 83.8% menyertai bidang kejururawatan pada 2022.
“Walau bagaimanapun, bumiputera mencatatkan penyertaan di bawah 50% bagi arkitek (41.2%), peguam (38.2%) dan akauntan (31.8%),” katanya dalam satu kenyataan.
Jabatannya mendapati jumlah graduan wanita bumiputera lebih tinggi – 2.2 juta berbanding lelaki dalam segmen kaum sama yang berjumlah 1.7 juta.
Namun, penyertaan wanita bumiputera dalam tenaga kerja masih lebih rendah tahun lalu pada tahap 82.9% walaupun meningkat berbanding lelaki bumiputera yang berjumlah 88.3%.
KPTB bagi siswazah perempuan berjumlah 82.1% pada 2021 dan KPTB siswazah bumiputera lelaki tidak berubah, katanya.
Secara purata, wanita bumiputera didapati melahirkan dua orang anak sepanjang hayat, kata Mohd Uzir.
Menurutnya lagi, sebanyak 62.3% tenaga kerja bumiputera berpendidikan menengah, 37.3% berpendidikan tinggi dan pengangguran pula pada kadar 4%.
Jumlah warga bumiputera berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat pula menurun kepada 2,714 orang pada tahun lalu berbanding 2,948 pada tahun sebelumnya.
Seterusnya, jabatan itu mengesan transaksi berjumlah RM34.7 bilion rumah kediaman dan RM2.1 bilion harta tanah komersial dalam kalangan bumiputera. – 19 Disember, 2023.
Komen