Jalankan kajian kekurangan jururawat, kata kumpulan hospital swasta


Noel Achariam

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Dr Kuljit Singh berkata kerajaan atau mana-mana badan profesional perlu membuat kajian menyeluruh mengenai isu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2023.

KEMUDAHAN penjagaan kesihatan swasta dijangka memerlukan kira-kira 9,000 jururawat baru untuk tempoh lima tahun akan datang ketika sektor itu kini sedang berdepan kekurangan tenaga kerja, kata Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Dr Kuljit Singh.

Beliau berkata, kajian menyeluruh perlu dijalankan mengenai punca kekurangan jururawat ketika ini.

“Sebab itu sama ada kerajaan atau mana-mana badan profesional perlu membuat kajian menyeluruh mengenai isu ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada 2 Oktober lalu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kerajaan mengunjurkan kekurangan kira-kira 8,000 jururawat di Malaysia untuk tahun 2023 dan 2024.

Beliau berkata bilangan jururawat pelatih yang dikeluarkan di institusi awam dan swasta dalam tempoh dua tahun ini adalah tidak mencukupi.

Zaliha berkata kekurangan itu disebabkan tiga tahun tertangguh akibat pandemik Covid-19, yang sekali gus menjejaskan usaha melatih jururawat baru.

Pada 18 September, Zaliha berkata kemudahan kesihatan swasta akan dibenarkan mengambil jururawat terlatih asing, tertakluk kepada beberapa syarat.

Zaliha berkata bilangan jururawat di setiap kemudahan kesihatan swasta tidak boleh melebihi 40% daripada jumlah jururawat di fasiliti itu dan kontrak kerja mereka sah untuk tempoh 12 bulan mulai 1 Oktober 2023 dengan lanjutan 12 bulan lagi.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kemudahan kesihatan swasta akan dibenarkan mengambil jururawat terlatih asing, tertakluk kepada beberapa syarat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2023.

Kuljit percaya jururawat itu akan diambil dari India, Pakistan, Filipina, dan Bangladesh.

Mengenai kekurangan itu, Kuljit berkata terdapat kemungkinan golongan belia tidak berminat untuk menceburi profesion ini kerana kini terdapat banyak pilihan pekerjaan lain.

“Ia tidak dapat dibuktikan (belia tidak berminat) dan ini cuma andaian kami, jika dulu tidak banyak pilihan pekerjaan dan ramai yang menceburi bidang kejururawatan, mengajar dan lain-lain.

“Namun, sekarang selepas mereka tamat sekolah menengah, mereka mempunyai banyak pilihan.

“Kajian terhadap generasi muda juga boleh dilakukan mengenai perkara ini. Untuk mengukur sama ada ini benar-benar merupakan satu isu.” – 6 November, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen