WANITA bumiputera didapati dapat hidup lebih lama berbanding lelaki dalam kelompok kaum sama pada tahun ini, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia.
Data jabatan itu menyatakan golongan wanita bumiputera dijangka dapat hidup sehingga usia purata 76.3 tahun berbanding lelaki bumiputera yang diramal hidup sehingga 71.5 tahun.
Jangka hayat semasa itu dianggarkan ke atas keseluruhan 344,281 kelahiran yang direkodkan pada tahun lalu.
Penyakit jantung pula dikenalpasti penyebab utama kematian golongan bumiputera, diikuti pneumonia dan angin ahmar daripada keseluruhan 130,541 kematian, menurut jabatan itu.
Sebanyak kira-kira 12,900 warga bumiputera disahkan maut akibat sakit jantung tahun lalu diikuti 10,600 kematian kes pneumonia dan 6,200 kes strok.
Sebanyak 3,200 lagi maut akibat jangkitan Covid-19 manakala kematian akibat kemalangan melibatkan pengangkutan di tangga kelima dengan 2,290 kes.
Data jabatan itu juga menyebut, kira-kira 1,800 maut akibat penyakit pernafasan kronik.
Jumlah graduan wanita bumiputera pula didapati lebih tinggi – 2.2 juta berbanding lelaki dalam segmen kaum sama yang berjumlah 1.7 juta.
Namun, penyertaan wanita bumiputera dalam tenaga kerja didapati lebih rendah pada tahap 82.9% berbanding lelaki bumiputera yang berjumlah 88.3%.
Secara purata, wanita bumiputera didapati mempunyai dua orang anak, dan 3.9 juta daripada keseluruhan 9.6 juta tenaga kerja bumiputera terdiri daripada wanita.
Bagi pemilikan harta tanah, jabatan itu mengesan transaksi berjumlah RM34.7 bilion rumah kediaman dan RM2.1 bilion harta tanah komersial dalam kalangan bumiputera.
Penduduk bumiputera merangkumi 63.9% peratus (21.3 juta) daripada 33.4 juta penduduk di Malaysia.
Seramai 27.2% lagi terdiri daripada penduduk bukan bumiputera dan 8.9% bukan warganegara. – 19 Disember, 2023.
Komen