JABATAN Kemajuan Islam (Jakim) mengesahkan arahan 2020 yang melarang produk dipamerkan mempunyai tulisan ucapan perayaan bukan Islam tidak lagi berkuat kuasa.
Jakim berkata premis perniagaan yang mempunyai pensijilan halal tidak disekat atau dilarang menambah ucapan pada produk mereka termasuk kek.
“Jakim akan menjalankan semakan dan penilaian semula semua perkara berkaitan manual prosedur pensijilan halal.
“Kenyataan Jakim terdahulu pada tahun 2020 adalah tidak terpakai dengan penjelasan ini,” kata Jakim dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan dikeluarkan pada Disember 2020, premis yang mempunyai sijil halal dibenarkan meletakkan ucapan perayaan pada produk dengan syarat ia tidak dipamerkan.
Bagaimanapun, Jakim berkata produk dipamerkan yang mengandungi logo halal tidak boleh mempunyai sebarang ucapan seperti itu.
Maklum balas Jakim itu susulan tular pekeliling dalaman syarikat kek, yang memberitahu pekerja agar tidak menulis “Selamat Hari Krismas"pada kek.
Semalam, sebuah rangkaian kedai kek yang didakwa bersikap diskriminasi kerana tidak membenarkan tulisan ucapan Krismas pada kek berkata ia hanya mematuhi peraturan ditetapkan Jakim.
Pengurus Operasi Berry’s Cake House Daniel Teoh berkata mereka tidak mempunyai pilihan selain mematuhi peraturan atau berisiko kehilangan sijil halalnya.
Teoh berkata memonya kepada semua cawangannya adalah untuk kegunaan dalaman, tetapi seorang kakitangan yang berurusan dengan pelanggan menunjukkan memo kepada mereka bagi membela diri.
Beliau berkata Berry’s mengikut peraturan Jakim dengan ketat dan merujuk kepada Jakim sebelum mengeluarkan sebarang produk untuk dijual.
Menteri Hal Ehwal Agama Mohd Na’im Mokhtar berkata tiada sekatan menulis ucapan sambutan perayaan pada kek untuk dibawa pulang oleh pelanggan.
Katanya, beliau meminta Jakim menjelaskan perkara itu. – 18 Disember, 2023.
Komen