Jumlah migran ke Australia catat rekod tertinggi


Jumlah orang yang berhijrah ke Australia mencapai tahap tertinggi dalam tahun kewangan 2022-23 disebabkan oleh peningkatan pemegang visa sementara yang memasuki negara itu. – Gambar AFP, 16 Disember, 2023.

JUMLAH orang yang berhijrah ke Australia mencapai tahap tertinggi dalam tahun kewangan 2022-23 disebabkan oleh peningkatan pemegang visa sementara yang memasuki negara itu.

Menurut data rasmi yang diterbitkan oleh Biro Statistik Australia (ABS) pada Jumaat, sebanyak 518,000 penghijrahan dalam tempoh 12 bulan hingga akhir Jun– angka tertinggi pernah dicatatkan, lapor Xinhua.

Pada 2022-23, rekod tertinggi 737,000 migran tiba di Australia — meningkat daripada 427,000 dalam tempoh 12 bulan sebelumnya — manakala 219,000 lagi keluar — angka terendah sejak 2006-07.

Ketua statistik migrasi di ABS Jenny Dobak berkata penurunan jumlah migran yang keluar boleh dikaitkan dengan kesan pandemik Covid-19.

“Disebabkan kesan sekatan perjalanan semasa pandemik, ramai pendatang sementara di Australia yang tiba baru-baru ini belum diwajibkan pulang. Ini mengakibatkan bilangan migran yang meninggalkan negara ini pada 2022-23 lebih kecil,” menurutnya dalam satu kenyataan media.

Daripada ketibaan migran pada 2022-23, sebanyak 554,000 atau 75 peratus menggunakan visa sementara termasuk 283,000 pelajar antarabangsa.

Warga India adalah paling ramai berhijrah pada 2022-23, menyumbang 14.3 peratus daripada jumlah keseluruhan diikuti oleh China, Filipina, Australia dan United Kingdom (UK).

Umur median bagi migran yang berhijrah adalah 27 tahun dan bagi yang keluar adalah 33 tahun. – Bernama, 16 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen