Lubuk keruh media sosial jerat pendapat umum rakyat Malaysia


Salhan K. Ahmad

Sekatan dan tapisan ke atas perbincangan mengenai Palestin di media sosial diusahakan Meta sejak Nakba Kedua bermula pada Oktober. – Gambar EPA, 16 Disember, 2023.

SARJANA Malaysia Nasaie Ismail merupakan antara rujukan utama rakyat Malaysia di media sosial bagi mengikuti perkembangan perang di Palestin dengan objektif waktu ini.

Ada kala tulisan sarjana hubungan antarabangsa ini mengenai krisis di Gaza dikongsi ribuan kali oleh pengguna pelantar Facebook, menyebabkan beliau lebih berhati-hati.

Beliau menyedari Facebook menjalankan sekatan dan tapisan ke atas kandungan berkaitan Palestin walaupun firma tersebut menafikan usaha seperti itu.

Dalam siri analisisnya, Nasaie kadang-kadang menukar ejaan kata nama “Israel” menjadi “Is. R4 el”. Kata nama “Gaza” pula diubahnya menjadi “G4z4”. “Palestin” menjadi “P4lestin”.

Beliau juga terpaksa meminda kata nama “Hamas” menjadi “H4m4s” dalam perbincangannya.

“Dari awal konflik, saya ubah ejaan tu. Jadi belum hadapi sebarang masalah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sekatan dan tapisan ke atas perbincangan mengenai Palestin diusahakan Meta sejak Nakba Kedua bermula pada Oktober.

Tindakan firma yang mendirikan Facebook, Instagram, WhatsApp dan Threads itu bertujuan mengekang simpati masyarakat dunia ke atas warga Palestin.

Meta antara lain mengehadkan sebaran kandungan melibatkan genosid Israel ke atas Gaza di kawasan geografi terlibat sahaja.

Secara khusus, ia mengehadkan sebaran kandungan berkenaan kepada rakan-rakan dan pengikut individu yang menyiarkan bahan tersebut, menurut Meta pada Oktober seperti dilapor Reuters.

Meta juga secara rasmi memasukkan Hamas dalam kategori “organisasi berbahaya” dan mengharamkan segala bentuk pujian ke atas sayap tentera pentadbiran Palestin itu.

Langkah ini selari dengan dasar negara Amerika Syarikat yang menaja bom untuk serangan Israel ke Gaza.

Waktu ini, Amerika Syarikat semakin terpencil kerana majoriti negara dunia mengecam sokongannya ke atas pembunuhan begitu ramai warga Palestin oleh rejim Israel.

Seorang lagi pengguna Facebook, Muhammad Nazreen mengesan siaran kandungannya semakin terhad sekiranya kata nama Israel, Palestin, Gaza dan Hamas dieja mengikut skema.

“Malah, bila saya minta kawan saya periksa profil Facebook saya, mereka tidak dapat melihat dan mengakses pos saya jika saya masukkan kata kunci seperti di atas.

“Beberapa pos yang saya kongsi daripada Gaza, khususnya menerusi beberapa wartawan Gaza seperti Motaz Azaiza, Hind Khoudary, Plestia Alaqad, Wael al-Dahdouh tidak dapat dilihat oleh orang lain.

“Kecuali jika saya menukar kata kunci terbabit seperti Palestin (menjadi “P”), Israel (I), Hamas (H), Zionis (Z), barulah hantaran saya kelihatan,” katanya.

Apa yang melucukan, usaha memperbodohkan rakyat Malaysia dengan mengehadkan siaran maklumat seperti ini dibiaya oleh kita sendiri.

Saban tahun, pengusaha media tempatan mengeluh apabila belanja iklan atau digelar advertising expenditure (adex) semakin mengecil kerana disedut pelantar media sosial asing.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Khamis mengakui media tempatan kerugian kira-kira RM2 bilion daripada RM4.5 bilion perbelanjaan iklan tahunan di Meta, Google dan TikTok.

Ini kerana hampir keseluruhan hasil iklan – dari sekecil-kecil penjual kain tudung hinggalah kepada gergasi petrokimia – dibayar kepada tiga firma media sosial ini dan bukan kepada organisasi media.

Walau lebih mendapat kepercayaan di kalangan pengguna, firma media tempatan yang tertakluk kepada pelbagai undang-undang semakin lemah.

Pada Ogos lalu, kita mendengar syarikat media Star Media Group Bhd hanya berjaya merekodkan keuntungan RM1.98 juta ke atas hasil RM164.93 juta bagi pendapatan suku tahunannya.

Laporan akhbar bisnes The Edge menyebut, hasil itupun daripada pelaburan oleh konglomerat milik parti MCA itu dan bukannya dari operasi media.

Lucu juga kerana menteri komunikasi Malaysia mudah berpuas hati dengan penjelasan Meta dan media sosial lain mengenai kaedah tapisan kandungan di pelantar terbabit.

Sedangkan, lembaga yang mengawal sekatan dan tapisan itu tidak dapat kita lihat dengan nyata. Kita tidak tahu bentuk lembaga ini, bagaimana rupanya dan asal-usulnya.

Sekiranya firma ini perlu dibenarkan terus beroperasi di Malaysia, lembaga ini perlu dikawal di negara kita. Ia tidak boleh dibiarkan dalam lubuk keruh tanpa pengawasan.

Lubuk keruh ini perlu dijernihkan supaya rakyat kita dapat menerima maklumat dengan jelas. Apabila jernih, bolehlah kita bercakap mengenai kebebasan bersuara dan konsep canggih lain.

Setiap algoritma dan formulanya mestilah dapat dilihat dengan bebas. Tapisan dan sekatan hanya boleh dilaksana badan bertauliah Malaysia dan bukan sewenang-wenangnya oleh entah siapa-siapa.

Lucu juga kerana Malaysia sudahpun menubuhkan badan bebas dipanggil Content Forum bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyelia kandungan dalam talian.

Tetapi tiada seorangpun wakil dari tiga gergasi media sosial tersebut hadir ke seminar anjuran badan ini pada Oktober lalu. – 16 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen