Tentera Israel lepaskan tembakan di hospital Gaza


Kanak-kanak yang cedera dalam serangan tentera Israel di Gaza dirawat di sebuah hospital. Hanya 14 daripada 36 hospital di seluruh wilayah berfungsi menyediakan penjagaan kesihatan terhad selain melindungi beribu-ribu penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal. – Gambar EPA, 14 Disember, 2023.

KEMENTERIAN kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata tentera Israel melepaskan tembakan ke arah wad di hospital semalam yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan 12 pesakit kanak-kanak di situ.

“Pasukan pendudukan (Israel) mengetatkan pengepungan dan sasaran hospital Kamal Adwan, menembak ke arah bilik pesakit.

“Kami bimbang kematian 12 kanak-kanak yang sudah kekurangan susu dan tanpa peralatan sokongan hayat,” kata jurucakap kementerian Ashraf al-Qudra dalam satu kenyataan.

Pada Selasa Qudra berkata tentera Israel menyerbu Hospital Kamal Adwan di utara wilayah Palestin dan menangkap beberapa individu di situ.

Sehari sebelumnya agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu OCHA berkata dua wanita hamil terbunuh apabila jabatan bersalin hospital Kamal Adwan dilaporkan ditembak.

Dalam kenyataan semalam Qudra berkata tentera Israel menahan pengarah hospital Ahmed al-Kahlot dan kakitangan lain yang diseksa dan tidak diberikan makanan dan minuman.

Beberapa daripada mereka kemudian dibebaskan, katanya.

Qudra berkata tentera Israel juga menyasarkan Hospital Al-Awda dan mengetatkan pengepungan kemudahan itu serta menyekat bekalan air, makanan dan elektrik.

Tentera Israel juga menghalang mereka yang cedera dan sakit untuk dibawa ke hospital, tambahnya.

Tentera Israel sebelum ini menyerbu kemudahan perubatan lain di Gaza termasuk Al-Shifa, hospital terbesar di wilayah itu.

Tentera Israel menuduh Hamas menggunakan hospital sebagai pusat arahan untuk merancang dan melancarkan serangan terhadap mereka, satu tuduhan yang dinafikan oleh kumpulan pejuang itu.

Ketika ini hanya terdapat satu hospital di utara Gaza yang boleh menerima pesakit, menurut PBB.

Hanya 14 daripada 36 hospital di seluruh wilayah berfungsi menyediakan penjagaan kesihatan terhad selain melindungi beribu-ribu penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Ahad.

Lebih 18,600 penduduk Gaza terbunuh dan hampir 50,600 cedera sejak perang antara Israel dan Hamas meletus lebih dua bulan lalu, menurut kementerian kesihatan.

Majoriti mangsa serangan Israel adalah orang awam. – AFP, 14 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen