SATU lagi hospital di Semenanjung Gaza iaitu Hospital Indonesia dikosongkan sepenuhnya pada Sabtu, kata jurucakap kementerian kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qudra.
Selain itu, baki mangsa yang cedera juga sedang dipindahkan dari Kompleks Perubatan Al-Shifa iaitu hospital terbesar di Gaza, lapor agensi berita Anadolu.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran situasi kesihatan di Semenanjung Gaza kini amat meruncing.
“Bantuan perubatan yang dibawa masuk ke Semenanjung Gaza tidak mencukupi dan jauh lebih sedikit berbanding sebelum ini.
“Tiada kemudahan kesihatan di utara Semenanjung Gaza yang mempunyai kira-kira 900,000 penduduk. Hanya tiga hospital yang beroperasi dengan kemampuan yang terhad,” katanya.
Angka kematian di Semenanjung Gaza meningkat kepada 14,854, menurut pejabat media kerajaan pada Khamis.
Mangsa yang terkorban termasuk 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita manakala lebih 36,000 lagi cedera.
Kira-kira 7,000 orang masih gagal dikesan termasuk lebih 4,700 kanak-kanak. – Bernama, 25 November, 2023.
Komen