Bekalan air Pulau Pinang disambung semula 14 Januari


PERBADANAN Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) merancang empat peringkat pemulihan bagi menjamin 590,000 pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air pada 10 hingga 14 Januari depan mendapat semula bekalan dalam tempoh dijadualkan.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K. Pathmanathan berkata bagi peringkat pertama, pihaknya akan cuba memastikan 33% atau 197,025 pengguna di kawasan Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara termasuk pengguna bukan domestik utama di Butterworth akan memperoleh semula bekalan dalam tempoh 48 jam.

Beliau berkata peringkat kedua menyasarkan memulihkan bekalan dalam tempoh 72 jam bagi 495,065 atau 88% pengguna di Seberang Perai Selatan dan bahagian pulau termasuk pengguna domestik utama di George Town dan zon perdagangan bebas Bayan Lepas.

“Peringkat ketiga, kita menyasarkan 99 peratus pengguna di semua kawasan terjejas di Seberang Perai dan Pulau Pinang menerima air secara beransur-ansur dalam tempoh 96 jam manakala peringkat keempat adalah pemulihan setempat untuk baki satu peratus lagi pengguna di hujung paip agihan (HPA) dan kawasan lebih tinggi,” katanya pada sidang media di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Butterworth hari ini.

Menurut Pathmanathan normalisasi perkhidmatan bekalan air untuk kira-kira 590,000 pengguna yang akan terjejas berlaku secara berperingkat antara 48 hingga 96 jam.

Beliau berkata jangkaan pemulihan dibuat dengan mengambil kira faktor kedekatan pengguna dengan LRA Sungai Dua selain lokasi mereka yang berhampiran infrastruktur bekalan air utama seperti kolam air terawat dan rumah pam di Batu Kawan, Bukit Minyak, Bukit Dumbar dan Bukit Gedung.

Terdahulu Pathmanathan membawa pengurusan PBAPP dan pihak media meninjau kerja pembaikan dua injap pada saluran paip air terawat utama yang rosak dan bocor yang menyebabkan operasi di LRA itu terpaksa dihentikan selama empat hari, selain kerja sampingan di 22 lokasi lain di seluruh Pulau Pinang.

Beliau turut berharap kerjasama daripada semua pengguna untuk menyimpan bekalan secukupnya dalam tempoh empat hari berkenaan selain mengoptimumkan penggunaan air bagi melancarkan proses pemulihan.

Bagaimanapun, katanya lori tangki akan dikerahkan ke kawasan terjejas secara berjadual bermula 10 Jan bagi memastikan pengguna menerima bekalan air secukupnya selain meletakkan tangki statik di kawasan tertentu.

Isnin lepas, Ketua Menteri Chow Kon Yeow memaklumkan akan menggerakkan 55 lori tangki untuk menghantar bekalan air ke kawasan terjejas serta meletakkan 60 tangki statik bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan air.

PBAPP sebelum ini memaklumkan 590,000 pengguna air di Pulau Pinang akan mengalami gangguan air berjadual bermula pada 6 pagi pada 10 Januari hingga 6 pagi, 14 Januari 2024 melibatkan lebih 50 kawasan di Seberang Perai dan hampir keseluruhan kawasan di bahagian pulau.– Bernama, 13 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen