Runtuhan gudang: Perkeso ambil tindakan terhadap majikan


Anggota bomba dan penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa yang terperangkap dalam kejadian runtuhan projek pembinaan gudang di Pulau Pinang. – Gambar Facebook, 30 November, 2023.

LIMA daripada sembilan pekerja asing yang terlibat dalam kejadian runtuhan projek pembinaan gudang di Pulau Pinang tidak berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan tidak pernah membuat sebarang caruman.

Dalam satu kenyataan Perkeso memetik Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata tindakan undang-undang akan diambil terhadap majikan yang bertanggungjawab ke atas pekerja asing di tapak di Batu Maung dekat Bayan Lepas itu.

Katanya ini jelas melanggar Seksyen 6 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan mengikut Seksyen 94 undang-undang sama majikan yang gagal mendaftar serta mencarum pekerja asing boleh didakwa.

“Kegagalan mendaftarkan dan mencarum pekerja asing boleh didakwa mengikut Seksyen 94, Akta 4 yang membawa hukuman denda RM10,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” Sivakumar dipetik sebagai berkata.

Dalam kejadian 9.58 malam Selasa malam itu tiga pekerja Bangladesh maut apabila gudang logistik yang sedang dalam pembinaan runtuh manakala dua lagi cedera parah.

Tapak binaan itu terletak di bahagian selatan Pulau Pinang dan bangunan itu merupakan kompleks perniagaan logistik tiga tingkat yang mempunyai pejabat, ruang parkir dan gudang.

Semua pekerja asing termasuk yang berkhidmat sebagai buruh dalam sektor pembinaan dikehendaki mendaftar dan mencarum kepada Perkeso berkuat kuasa 1 Januari 2020.

Dalam kenyataan itu Perkeso menyatakan dua pekerja asing yang terbunuh dan dua yang cedera parah dalam kejadian tersebut didapati mempunyai rekod pendaftaran dengan Perkeso.

Bagaimanapun tiada sumbangan dibuat dari 2020 hingga Julai 2023.

“Pekerja asing lain yang meninggal dunia tidak mempunyai rekod pendaftaran dan caruman dengan Perkeso.

“Kementerian melalui Perkeso masih giat menjalankan semakan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di sini dan agensi berkaitan lain,” katanya. – 30 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen