ROSMAH Mansor mengemukakan representasi baharu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Rosmah memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy, representasi dihantar semalam itu mempunyai isu serius yang perlu dipertimbangkan oleh peguam negara.
“Kami juga mohon pendengaran kes hari ini dilapangkan sementara menunggu keputusan representasi berkenaan. Pihak kami tidak berniat untuk menangguhkan kes ini,” kata peguam itu.
Ini merupakan representasi ketiga dihantar oleh isteri bekas perdana menteri Najib Razak selepas representasi pertama dan kedua yang dikemukakan masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos lepas masih belum diputuskan oleh AGC.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan menerima representasi itu semalam dan memaklumkan kepada mahkamah representasi berkenaan belum ditaklimatkan kepada peguam negara.
“Representasi itu yang mengandungi isu serius (berhubung pertuduhan) perlu diteliti terlebih dahulu selain kami juga tidak membantah permohonan pembelaan untuk melapangkan prosiding hari ini,” katanya.
Hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan Rosmah bagi membatalkan kesemua pertuduhan dihadapinya.
Bagaimanapun, Hakim Muniandy tidak membenarkan penangguhan prosiding hari ini dan meminta pihak-pihak terlibat meneruskan dengan hujahan.
Sementara itu, dalam permohonan untuk membatalkan pertuduhan, peguam Amer Hamzah Arshad yang turut mewakili Rosmah berhujah anak guamnya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil kerana 17 pertuduhan dihadapinya adalah cacat dan mengelirukan.
“Pertuduhan berkenaan bertindan antara satu sama lain dan ia sebenarnya merujuk kepada kesalahan sama.
“Pertuduhan pertama hingga pindaan ke-12 (pengubahan wang haram) adalah kabur serta defektif kerana tidak menyatakan apakah aktiviti haram atau kesalahan predikat daripada mana hasil dikatakan sudah diperoleh manakala butiran dalam pertuduhan ke-13 hingga ke-17 (gagal isytihar pendapatan) mengelirukan,” kata peguam itu.
Rosmah memfailkan notis usul itu pada 4 Oktober 2020 memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada kesemua 17 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Rosmah, 72 didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.
Perbicaraan bagi kes itu bermula pada 24 Ogos lepas dengan dua saksi dipanggil memberi keterangan. – Bernama, 13 Disember, 2023.
Komen