Anak bekas exco Johor kekal bebas tuduhan rasuah, ubah wang haram RM35.7 juta


MAHKAMAH Tinggi Johor Bahru hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan anak bekas exco Johor Abd Latif Bandi serta perunding hartanah atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta, enam tahun lalu.

Hakim Noor Hayati Mat membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 7 Ogos 2022.

Dalam penghakimannya, katanya, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Ahmad Fauzan Abd Latif, 31, dan Amir Shariffuddin Abd Raub, 50.

Amir Shariffuddin menghadapi 33 pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama.

Selain itu, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin masing-masing, turut berdepan empat pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

“Maka, setelah meneliti keterangan kedua-dua dalam pembelaan mereka saya dapati anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta SPRM telah berjaya dipatahkan oleh mereka. Ahmad Fauzan juga telah mematahkan inferen di bawah Seksyen 4(2) AMLA dan tiada kekhilafan di pihak Hakim Mahkamah Sesyen dalam menerima penjelasan mereka.

“Berdasarkan alasan dan pendapat saya, tiada kekhilafan dari segi undang-undang dilakukan oleh Hakim Mahkamah Sesyen dalam membuat keputusan pelepasan ini, maka dengan ini rayuan perayu ditolak dan perintah pembebasan dan pelepasan kedua-dua tertuduh oleh Hakim Mahkamah Sesyen di kekalkan,” katanya.

Pihak pendakwaan diwakili Pengarah Bahagian Perundangan Pendakwaan SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin dan barisan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Mahadi Abdul Jumaat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Zender Lim Wai Keong.

Ahmad Fauzan pula diwakili Salehudin Saidin, Zulaikha Aini Mohd Khair Johari, Siti Sarah Khalil dan Abd Rahim Ali manakala Shariffuddin diwakili peguam Ahmad Nur Awalluddin Zakaria, Syahmi Nawawi dan Khairulazwad Sariman.

Pada 7 Ogos tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen telah melepaskan dan membebaskan Amir Shariffuddin, Abd Latif dan anaknya Ahmad Fauzan di akhir kes pembelaan. 

Rayuan telah difailkan terhadap ketiga-tiga tertuduh, namun pada 20 Oktober lalu rayuan terhadap Abd Latif ditarik balik dan pendakwaan meneruskan rayuan terhadap Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin sahaja.

Pada 14 Jun 2017, Abd Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin didakwa atas pertuduhan rasuah dan pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta, bagaimanapun, kesemua mereka  mengaku tidak bersalah.

Pada 21 April 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru membuat keputusan melepas dan membebaskan ketiga-tiga mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun, pada 7 November 2021, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengarahkan bekas pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri itu dengan dua yang lain terbabit untuk membela diri selepas Hakim Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya itu. – Bernama, 11 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen