MAJLIS penyampaian hadiah kepada pemenang Hadiah Nobel tahun ini diadakan di Norway dan Sweden pada Ahad, lapor agensi berita Jerman (DPA).
Aktivis hak asasi manusia Iran, Narges Mohammadi yang dinobat sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan tahun ini, masih ditahan di negara asalnya.
Pemenang berusia 51 tahun itu akan diwakili oleh suami dan dua anaknya pada majlis di Oslo.
Beliau memenangi hadiah itu atas perjuangannya menentang penindasan wanita di Iran dan perjuangan mempromosikan hak asasi manusia dan kebebasan untuk semua.
Hadiah Nobel untuk Kesusasteraan, Perubatan, Fizik, Kimia dan Ekonomi pula disampaikan oleh Raja Sweden, Raja Carl XVI Gustaf di Stockholm.
Hadiah bagi anugerah tahun ini masing-masing bernilai 11 juta kronor Sweden (kira-kira AS$1 juta).
Senarai pemenang diumumkan pada Oktober dan secara tradisinya penyampaian anugerah diadakan pada ulang tahun kematian pengasas anugerah Alfred Nobel, seorang ahli kimia Sweden. – Bernama, 10 Disember, 2023.
Komen