HOSPITAL Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menyiasat dakwaan kecuaian hospital terbabit yang dikatakan meninggalkan dawai dalam saluran darah ke jantung pesakit ketika mendapatkan rawatan di fasiliti itu.
Pengarahnya Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata pihaknya memberi jaminan setiap aduan akan disiasat secara telus dengan mengikut prosedur ditetapkan tanpa mengabaikan hak-hak pelanggan.
“Hasil siasatan akan dimaklumkan kepada pesakit atau ahli keluarga bagi mengawal kerahsiaan maklumat. Pihak hospital tidak akan berkompromi sekiranya didapati berlaku kecuaian semasa pesakit mendapatkan rawatan di HTAR,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular catatan menerusi akaun Facebook seorang lelaki yang meluahkan rasa kecewa serta mendakwa pihak HTAR meninggalkan dawai sepanjang 22 sentimeter (Guidewire) di dalam saluran darah ke jantung seorang pesakit buah pinggang. – Bernama, 9 Disember, 2023.
Komen