Kementerian Pendidikan pindah pegawai bertanggungjawab isu larangan lagu Tamil


Pegawai khas Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Thiyagaraj Sankaranarayanan berkata tindakan tegas sudah diambil terhadap pegawai yang bertanggungjawab dalam insiden larangan lagu Bahasa Tamil. – Gambar Facebook, 7 Disember, 2023.

KEMENTERIAN Pendidikan sudah memindahkan pegawai yang bertanggungjawab dalam insiden larangan nyanyian lagu tradisi Bahasa Tamil sewaktu penganjuran Karnival Bahasa Tamil Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Kementerian bagaimanapun tidak mendedahkan butiran identiti dan pangkat pegawai itu atau tempat dia ditukarkan.

Pegawai khas Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek Thiyagaraj Sankaranarayanan berkata tindakan tegas sudah diambil terhadap perkara itu.

“Isu Larangan Tamil Valthu dan Kadavul Valthu disiasat dan diambil tindakan sewajarnya oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia di mana pegawai yang bertanggungjawab telah di mobiliti ke bahagian lain.

“Dakwaan bahawa kementerian tidak mengambil tindakan ke atas pegawai lain yang mengarahkan perkara tersebut adalah satu tindakan yang melulu.

“Mohon kita tumpukan proses pendidikan negara dan memberi ruang yang cukup untuk siasatan lanjut jika ada bukti baru,” tulisnya di Facebook.

Terdahulu Fadhlina mengakui pegawai itu didapati cuai dalam melaksanakan perkara berkaitan sensitiviti itu.

“Kita ambil tanggungjawab penuh, jadi tidak timbul isu kita (KPM) tidak sensitif… perkara ini memang tidak disengajakan, tidak pernah berlaku sebelum ini… tiada langsung niat untuk meminggirkan mana-mana kaum,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) di Dewan Rakyat.

Beberapa ahli Parlimen berbangsa India mengkritik insiden larangan peserta menyanyikan dua tradisi Bahasa Tamil pada acara itu dan penyingkiran imej ahli falsafah Tamil serta ikon sastera Thiruvalluvar daripada sepanduk karnival.

Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran berkata tindakan diskriminasi itu merugikan masyarakat India.

Ahli Parlimen Jelutong R.S.N. Rayer membidas mereka yang mengharamkan lagu berkenaan manakala Ahli Parlimen Segamat R. Yuvaneswaran menggesa satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengelak berulangnya isu sensitif tersebut. – 7 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen