Mahkamah putuskan bahasa Mandarin, Tamil di sekolah vernakular sah


Mahkamah Rayuan hari ini penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah vernakular sah mengikut Perlembagaan Persekutuan. – Gambar AFP, 23 November, 2023.

MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak rayuan yang dikemukakan empat pertubuhan, memohon pengisytiharan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah berkenaan adalah tidak berperlembagaan.

Empat pertubuhan itu ialah Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru). 

Keputusan itu disampaikan panel tiga hakim terdiri daripada Supang Lian, M Gunalan dan Azizul Azmi Adnan.

Dalam keputusan mahkamah, Hakim Azizul berkata sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan oleh itu penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar pengajaran di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan.

Pada 29 Disember 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) menolak saman yang dikemukakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mappim, Gapena dan Isma.

Bagaimanapun, GPMS tidak memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 29 Mei tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bahru Abazafree Mohd Abbas (kini hakim Mahkamah Tinggi) juga memutuskan bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah berperlembagaan dan menolak saman yang difailkan I-Guru. – Bernama, 23 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen