Umno anjur konvensyen peringkat negeri mulai bulan depan


Asyraf Wajdi menegaskan mesyuarat itu juga memperakukan sokongan semua wakil rakyat Umno terhadap Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2023.

MESYUARAT Majlis Tertinggi (MT) Umno malam ini bersetuju untuk menganjurkan Konvensyen Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri, bermula Januari 2024.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu bagi mempertingkatkan kesefahaman dan kerjasama antara parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan.

Dalam mesyuarat itu juga beliau berkata sempena setahun usia Kerajaan Perpaduan, MT Umno menegaskan pendirian parti untuk terus memperkukuh dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan sebagaimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Memperteguhkan asas-asas kerjasama yang dipersetujui bersama antara parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan, melalui perjanjian yang telah dimeterai terutamanya berkenaan dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Beliau berkata mesyuarat pada malam ini juga memperakukan bahawa semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri Umno akan terus mendukung pendirian parti untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan.

“...(ini) sebagaimana yang diputuskan oleh Mailis Kerja Tertinggi Umno pada 24 November 2022 dan diluluskan sebulat suara oleh perwakilan Perhimpunan Agung Umno pada 14 Januari 2023,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata bagi memastikan agenda Melayu terus diperkasa, Umno pada 6 Januari tahun hadapan akan mengadakan Kolokium Khas Bersempena Kongres Ekonomi Bumiputera yang bakal membentangkan hala tuju dan tawaran ekonomi baharu untuk bangsa Melayu di negara ini. – Bernama, 6 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen